Kanser tahap empat tidak halang Abdul Halim peroleh ijazah
MACHANG - Penghidap kanser hidung tahap empat hari ini meraikan kejayaannya menamatkan pengajian dengan merangkul segulung ijazah.
Abdul Halim Mat Hassan, 25, diraikan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada mini konvokesyen yang diadakan di kediamannya di Kampung Kok Kiak Baka, Machang hari ini.
Anak ketujuh daripada 10 adik-beradik itu cukup bertuah kerana Naib Canselor UMK, Datuk Dr Ts Noor Azizi Ismail hadir pada majlis itu untuk menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Warisan (Kepujian).
Majlis dilakukan dengan penuh istiadat dan dihadiri saudara mara Abdul Halim serta kepimpinan tertinggi UMK.
Turut bersama menyaksikan memori terindah itu ialah kedua ibu bapanya, Mariah Ismail, 59 dan Mat Hassan Hammat, 65, serta neneknya, Zainab Sulaiman yang kini berusia 109 tahun.
Abdul Halim ketika ditemui memberitahu dia sepatutnya menghadiri konvokesyen pada 19 Oktober lalu namun terpaksa akur dengan ujian kesihatan yang dialaminya.
"Saya mula didiagnos kanser pada 24 Oktober 2017 dan ketika itu sedang belajar di semester empat. Saya perlu menjalani pembedahan saluran pernafasan pada 17 September lalu selain rawatan kemoterapi dan radioterapi lebih setahun lalu.
"Sejak itu, saya mampu makan makanan yang dikisar sahaja. Walaupun perit namun masih bersyukur dengan segala pemberian ALLAH," katanya kepada media di sini.
Graduan Faklulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) itu memberitahu, kanser tersebut menyebabkan lubang tekaknya menjadi sempit, sukar bernafas dengan baik akibat saluran hidung sebelah kiri sempit dan dinding membengkak di bahagian dalam.
Lebih memeritkan katanya, mata kiri kini buta dan sentiasa sakit, kebas dan gatal termasuk bahagian muka yang turut bengkak.
Bagaimanapun Abdul Halim memberitahu, dengan semangat dan dorongan ibu bapa, rakan-rakan dan pensyarah UMK, dia berjuang untuk terus kuat melawan kesakitan itu.
Sementara itu, Azizi memberitahu, ia merupakan kali kedua mini konvokesyen diadakan melibatkan pelajar UMK bertujuan memberi semangat kepada mereka.
"Majlis ini juga untuk menghargai Abdul Halim dan kami di UMK mendoakan dia diberi kekuatan dan kesembuhan kepada," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!