Waspada air pasang besar di Kota Tinggi
KOTA TINGGI - Penduduk yang tinggal berdekatan dengan pantai dan kawasan berisiko banjir perlu sentiasa berwaspada berikutan air pasang dijangka berlaku pada 25, 26 dan 27 Disember ini.
Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, fenomena air pasang berkenaan dijangka akan berlaku lebih lebih tinggi dari sebelum ini.
“Kita jangka air pasang besar akan berlaku pada 25, 26 dan 27 Disember ini.
“Kerajaan telah melakukan pelbagai persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar tahun ini,” katanya ketika meninjau keadaan di Sungai Kemang semalam.
Beliau berkata, taburan hujan yang tinggi menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air sejak beberapa hari lepas.
“Di Empangan Labong, Mersing dalam tempoh tiga hari sahaja jumlah hujan yang turun adalah sebanyak 779 milimeter bersamaan hujan selama lima bulan.
“Kita juga ambil kira faktor paras air laut tinggi dan kebetulan berlaku air pasang besar ditambah hujan turun kadar banyak maka berlaku banjir di Kota Tinggi dan Mersing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!