Kebun gondol, pokok getah lesap

Ramlah menunjukkan laporan polis yang dibuat kelmarin.
Ramlah menunjukkan laporan polis yang dibuat kelmarin.
A
A
A

GEMENCHEH - Kebun getah seorang warga emas bertukar menjadi padang jarak padang tekukur akibat diceroboh individu tidak bertanggungjawab.

Lebih malang pokok getah yang sebelum ini ditanam di kebun seluas satu hektar itu turut ditebang tanpa kebenaran dan dilarikan.

Pemilik kebun, Ramlah Ab Manaf, 63, berkata, dia terkejut melihat kebunnya yang terletak di Jalan Batang Rokan itu gondol akibat perbuatan pencuri.

“Kelmarin saya menghadiri kenduri kahwin di Bukit Rokan dan apabila melalui jalan tersebut, saya terkejut melihat kebun saya ‘terang’.

“Saya dengan anak lelaki segera melihat dari dekat dan memang betul kebun saya seperti padang jarak padang tekukur, habis pokok getah saya ditebang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, dia mengesyaki kebunnya diceroboh pihak tidak dikenali kerana tiada mana-mana individu atau syarikat meminta izin untuk menebang pokok getahnya.

Kebun getah Ramlah ibarat padang jarang padang tekukur.
Kebun getah Ramlah ibarat padang jarang padang tekukur.

“Kebun saya tak pernah orang ceroboh, ini kali pertama kejadian ini berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Saya terkejut dan sedih sangat kerana ini kebun pusaka yang ditinggalkan arwah mak. Kebun inilah punca pendapatan saya sekeluarga,” katanya.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Gemencheh untuk siasatan lanjut kelmarin.

Ramlah yang juga ibu tunggal berkata, dia mengalami kerugian ribuan ringgit dan punca pendapatannya turut terjejas.

“Kalau nak tanam semula pokok getah, saya perlu tunggu bertahun lagi sehingga pokok besar barulah boleh menoreh.

“Saya dah rugi masa dan wang dek perbuatan khianat orang lain,” katanya.

Dia berharap pihak polis dapat menyiasat dan mendakwa pihak yang terlibat agar kejadian itu tidak berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya ada menerima laporan kejadian terbabit dan sedang mengesan suspek terlibat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!