Rampas barang seludup lebih RM100,000
RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan yang dianggarkan berjumlah RM115,059 termasuk kenderaan dalam dua serbuan berasingan di sini semalam dan hari ini.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan pertama jam 4.30 petang semalam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, pasukannya merampas pelbagai barangan runcit termasuk minyak masak dan lampin pakai buang serta serbuk pencuci.
“Kita turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang digunakan menyeludup barangan tersebut.
“Jumlah keseluruhan barangan rampasan itu bernilai RM47,659,” katanya.
Menurutnya, sekitar jam 3.39 pagi tadi pula, pasukannya berjaya merampas 3,240 kilogram (kg) ayam sejuk beku.
Katanya, rampasan itu dilakukan selepas anggotanya menahan sebuah lori di jalan Repek, Pasir Mas.
“Nilai keseluruhan rampasan itu termasuk lori berjumlah RM67,400,” katanya.
Azhari berkata, ia merupakan rampasan terbesar yang dilakukan pihaknya sejurus mengambil alih tugas daripada PGA Batalion 9 Kuala Terengganu Isnin lalu.
“Kejayaan ini melonjakkan lagi semangat kami untuk terus melipat gandakan operasi bagi memastikan kawasan sempadan negara berada pada tahap terbaik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!