Empat daerah di Terengganu berisiko banjir semula
KUALA NERUS - Empat daerah di Terengganu iaitu Setiu, Besut, Hulu Terengganu dan Dungun diramal berisiko dilanda banjir gelombang keempat ekoran peningkatan air di lembangan sungai di daerah itu.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, maklumat awal diterima menunjukkan berlaku peningkatan paras air sungai di empat daerah itu yang dikhuatiri mengakibatkan banjir sekiranya hujan lebat berterusan.
Sehubungan itu, menurutnya, orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir diminta sentiasa berwaspada dengan perkembangan semasa dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa.
"Semua penduduk terutama di kawasan berisiko yang mengalami situasi banjir gelombang yang lalu dinasihatkan peka terhadap persiapan banjir di daerah masing-masing," katanya.
Che Adam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu berkata, hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, timur Pahang dan timur Sabah susulan amaran cuaca waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) pagi tadi.
"Hujan lebat dijangka berlaku di keseluruhan lapan daerah di Terengganu bermula pagi ini hingga esok," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan latihan pengendalian bot dan penyelenggaraan enjin bot kepada seramai 30 anggota dan pegawai APM di Tasik Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, APM dengan kekuatan seramai 385 termasuk pegawai tetap dan anggota sukarela sentiasa bersiap siaga dari semasa ke semasa dalam menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
"Semua aset dan logistik di peringkat daerah masing-masing telah bersedia untuk digerakkan.
"Kita percaya Sekretariat Pengurusan Bencana di peringkat daerah dan semua agensi berkaitan pengoperasian turut sama meningkatkan kesiapsiagaan di daerah masing-masing," katanya.
Terdahulu, Terengganu telah melalui tiga episod banjir dengan jumlah angka mangsa tertinggi ketika gelombang ketiga yang bermula pada 29 November lalu dan berakhir pada 7 Disember membabitkan hampir 6,000 mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!