Tak akan tak ada SOP tapis iklan: Warda
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Paparan iklan aplikasi temu janji berunsur lucah di papan iklan luar LED di lokasi dekat Bangsar dan Bukit Kiara menunjukkan kelemahan ketara penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Justeru, Wanita Muda Amanah (Warda) mendesak PBT terbabit mengambil tindakan tegas terhadap pelaku kesalahan tersebut.
Setiausaha Warda, Nusaibah Norbawi berkata, walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan supaya iklan tersebut ditarik balik namun siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca kesilapan sehingga berlakunya perkara sedemikian.
“Warda Nasional yang merupakan sayap wanita muda dalam Parti Amanah Negara (Amanah) ingin mempersoalkan apakah tiada prosedur operasi standard (SOP) yang diambil termasuk menapis terlebih dahulu kandungan iklan sebelum dipaparkan untuk tatapan umum?
ARTIKEL BERKAITAN: DBKL arah iklan cari 'sugardaddy' ditarik serta-merta
“Sewajarnya semua pihak terbabit lebih celik dan memahami nilai budaya serta sensitiviti rakyat dalam negara ini dan tidak terikut-ikut dengan budaya asing tidak bermoral demi mengaut keuntungan.
“Penguatkuasaan yang lebih ketat juga perlu diberi perhatian bagi memastikan kesalahan yang sama tidak berulang pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengarahkan struktur papan iklan luar LED Sugarbook di Bangsar dan Bukit Kiara ditarik serta-merta.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, paparan iklan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Menurutnya, pihak operator telah dimaklumkan kandungan iklan itu bersifat sensitif dan melanggar norma masyarakat Malaysia serta perlu ditarik segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!