Lebih 3,000 nelayan di Terengganu terima elaun sara hidup
KUALA TERENGGANU – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu merekodkan lebih 3,000 nelayan negeri ini layak mendapat elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan pada tahun ini dengan peruntukan lebih RM6 juta.
Pengarahnya, Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmood berkata, angka itu selepas pemutihan nelayan aktif dilakukan dan dianggarkan terdapat antara 7,000 hingga 8,000 nelayan berdaftar dengan persatuan nelayan di Terengganu.
“Jumlah ini tidak tetap, akan ada turun naik bergantung kepada pemutihan yang dibuat dan nelayan yang tidak dapat elaun ini banyak faktor, antaranya adalah tidak turun ke laut, tidak produktif dan sebagainya.
“Namun permohonan masih boleh dibuat melalui persatuan nelayan masing-masing jika mereka kembali aktif, kita akan masukkan balik sebagai penerima. Kita sentiasa memantau perkara ini dari masa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke program Hari Bertemu Pelanggan Peringkat MOA INC Terengganu anjuran LKIM dan Jabatan Perikanan Terengganu di pekarangan pejabat LKIM negeri, pelabuhan LKIM Chendering di sini hari ini.
Program yang dihadiri Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali itu turut mengadakan jualan murah hampir satu tan ikan seperti selayang, tongkol, kerisi, merah dan cencaru dengan harga antara 30 hingga 20 peratus lebih rendah berbanding pasaran.
Sementara itu, Zawawi berkata, masalah muara cetek di hampir 13 muara di Terengganu mengundang masalah kepada nelayan mendaratkan hasil tangkapan masing-masing di pelabuhan negeri ini.
Atas sebab itu katanya, ada bot yang terpaksa menaikkan hasil laut mereka di pelabuhan Kuantan, Pahang dan Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan sekaligus mengurangkan jumlah pendaratan ikan Terengganu.
“Terengganu merekodkan pendaratan ikan kira-kira 50,000 tan matrik setahun manakala 25,000 tan matrik lagi didaratkan di Kuantan dan Tok Bali. Ini kerana bot-bot besar tidak dapat masuk ke sini.
“Oleh itu, kita harap masalah muara cetek ini dapat diselesaikan segera supaya bot-bot besar nelayan dapat masuk ke sini, kita mahu jadi macam dulu-dulu, hasil laut banyak didaratkan di sini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!