Pelancong wanita warga China maut dipercayai lemas ketika snorkeling
KOTA KINABALU - Seorang pelancong wanita warga China maut dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti snorkeling bersama dua rakannya di pantai Pulau Mengalum, semalam.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Habibi Majinji berkata, dalam kejadian kira-kira 12.35 tengah hari, mangsa Chen Shao Ling, 26, dipercayai tersedak air dan dipukul ombak ketika sedang melakukan aktiviti tersebut berikutan keadaan laut berombak dan berangin.
"Pemandu pelancong yang melihat kejadian itu segera menarik mangsa ke tepi pantai dan memberikan bantuan pernafasan (CPR) bersama seorang pemandu bot.
“Namun, mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas. Mereka kemudian membawa mangsa ke jeti Marina Sutera Harbour untuk diperiksa oleh pegawai perubatan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.02 tengah hari. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Habibi berkata siasatan awal mendapati mangsa dan dua rakannya masing-masing berumur 28 dan 29 tahun yang juga warga China, tiba di Kota Kinabalu pada 5 Januari lepas.
"Kira-kira 8.30 pagi semalam, mangsa bersama dua rakannya itu telah menaiki bot jenis Katamaran ke Pulau Mengalum untuk melakukan aktiviti snorkeling. Sebelum itu, mereka diberikan taklimat keselamatan sebelum memulakan aktiviti tersebut," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!