Dadah: Polis tahan tiga anggota Geng Tiga Jahanam
YAN - Polis menahan tiga anggota Geng Tiga Jahanam dan merampas dadah seberat lebih 36.1 kilogram (kg) bernilai RM1.8 juta dalam serbuan di sebuah inap desa di Sungai Limau di sini semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, ketiga-tiga suspek berusia 39 hingga 42 tahun itu berasal dari Sungai Petani serta Alor Setar dan bekerja sebagai kontraktor, pencuci kereta manakala seorang lagi adalah penganggur.
Menurutnya, polis menemui 35 bungkusan teh mengandungi dadah dalam serbuan yang dilakukan.
“Polis turut merampas kereta seorang suspek yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut yang aktif sejak enam bulan lepas.
“Kita percaya dadah itu untuk pasaran tempatan seperti Yan, Kota Setar dan Kuala Muda,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di sini semalam.
Zainuddin berkata, dua suspek didapati positif dadah serta memiliki rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
“Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Disember 2019 untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Nilai rampasan keseluruhan dadah dalam tempoh kajian tahun ini bernilai RM12.7 juta berbanding RM4.3 juta pada tahun 2018,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!