Ibu tunggal terima bantuan Econsave

Mas Imran (kanan) bersama keluarga Norlaila ketika ditemui, hari ini.
Mas Imran (kanan) bersama keluarga Norlaila ketika ditemui, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kesusahan yang menimpa ibu tunggal kepada lima anak setelah rumah didiami hangus dijilat api minggu lalu mendapat perhatian Pasaraya Econsave, di sini, hari ini.

Difahamkan, keluarga Norlaila Abdullah, 34, kini yang tinggal sehelai sepinggang selain tidak mempunyai wang belanja untuk mendapatkan barangan keperluan asas dan peribadi.

Lebih malang, kejadian itu turut menyebabkan Norlaila yang juga seorang mualaf tidak boleh menghantar kesemua anaknya ke sekolah kerana semua kelengkapannya musnah dalam kebakaran itu.

"Kejadian kebakaran itu berlaku pada hari Jumaat, ketika itu saya memang ada sediakan sedikit kelengkapan untuk anak ke sekolah.

“Masa kebakaran itu berlaku, saya tidak sempat nak selamatkan apa-apa.

"Sekarang kami tiada apa-apa yang tinggal, hanya pakaian sepersalinan, nasib ada sedikit sumbangan daripada orang ramai," katanya ketika ditemui, di Pasaraya Econsave Taman Desa Cemerlang, di sini, hari ini.

Norlaila menerima sumbangan baucar pembelian barangan bernilai RM1,000 di pasar raya berkenaan.

"Terima kasih kepada pihak pengurusan Econsave kerana bantuan ini, ia amat bermakna dan begitu meringankan beban kami.

Artikel Berkaitan:

"Bantuan ini juga cukup untuk saya beli barangan keperluan seperti kipas dan periuk nasi. Selebihnya boleh beli baju dan kasut sekolah anak-anak saya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kesukaran yang dilalui ibu tunggal tersebut daripada salah seorang pelanggan mereka.

"Ada orang beritahu mengeni kesusahan keluarga ini. Kami di Econsave memang ada peruntukan untuk golongan ini dan tidak menunggu lama untuk mencarinya.

"Dengan baucar yang diberikan, mereka boleh dapatkan di pasar raya ini. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya.

Mengulas mengenai aktiviti kebajikan Econsave Wilayah Selatan bagi tahun ini, beliau memberitahu, sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan untuk kegunaan berkenaan.

Selain itu, pihaknya juga sedang bersiap sedia untuk menyertai misi kemanusiaan ke Palu dan Banten, Indonesia pada 17 hingga 21 Januari ini.

"Kita akan ke sana minggu depan, tujuannya untuk kita berikan sumbangan dan perahu kepada nelayan yang hilang punca rezeki ketika bencana alam yang berlaku baru-baru ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!