Iklan berbaur lucah: DBKL kena tegas, jelaskan SOP kepada orang awam
SHAH ALAM - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa membuktikan ketegasan menangani iklan aplikasi lucah seperti yang dipaparkan di papan iklan digital di Bangsar dan Bukit Kiara.
Pihak berkuasa itu turut diminta memperjelaskan kepada orang awam dan peniaga mengenai prosedur dan garis panduan pemasangan iklan digital secara terbuka.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, perkara tersebut dapat mengelak insiden sama berulang.
Bagaimanapun tindakan pantas DBKL mengarahkan iklan aplikasi lucah itu ditarik balik serta-merata amat dihargai.
"Pada masa sama, siasatan terperinci perlu dilakukan dengan meneliti semula proses pelesenan iklan berbaur lucah yang di luar norma kehidupan rakyat di negara ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak akan tak ada SOP tapis iklan: Warda
DBKL arah iklan cari 'sugar daddy' ditarik serta-merta
"DBKL perlu membuktikan kepada orang awam bahawa iklan itu benar-benar ditarik balik dan ditangani secara serius.
"Kita tidak mahu berlaku satu bentuk corak baharu dalam pengiklanan yang akan membawa kepada budaya merosakkan imej negara Malaysia sebagai negara Islam," katanya kepada Sinar Harian.
Noor Nirwandy berkata, perisian aplikasi secara interaktif penting bagi mendepani dunia digital tetapi tidak boleh mengikut nilai budaya negara Barat.
Menurutnya, konteks kemodenan tidak harus diterjemahkan melalui penularan budaya yang jelas bertentangan dengan asas kehidupan di negara ini.
Foto iklan aplikasi berbaur lucah di papan iklan digital di Bangsar dan Bukit Kitara tular di media sosial sejak sehingga mendapat kecaman warganet.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan paparan iklan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!