SHAH ALAM - Pas mendesak kerajaan mengharamkan aplikasi mencari pasangan dalam talian, Sugarbook susulan aplikasi itu secara terbuka menggalakkan aktiviti pelacuran. Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, pendedahan pihak tertentu mengenai mempromosi aplikasi itu secara terbuka di tempat awam membuktikan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengekang perkara yang boleh meruntuhkan agama dan budaya. Menurutnya, kerajaan PH kini perlu membuktikan komitmen mereka memastikan agenda mensejahterakan rakyat tidak mencakupi perkara yang meruntuhkan moral. "Kerajaan PH sebenarnya hendak bawa rakyat ke arah mana? Takkan demi mendapatkan kuasa, mereka sanggup membiarkan soal meruntuhkan agama dan budaya semakin berleluasa? "Menyentuh mengenai perkara menggalakkan aktiviti pelacuran, tidak ada mana-mana agama yang merestuinya. Justeru, Pas menuntut kerajaan PH segera mengharamkan aplikasi Sugarbook," katanya kepada Sinar Harian. Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan paparan iklan Sugarbook ditarik balik dengan segera. ARTIKEL BERKAITAN: DBKL arah iklan cari 'sugar daddy' ditarik serta-merta Tak akan tak ada SOP tapis iklan: Warda DBKL dalam kenyataannya sebelum itu memberitahu, iklan LED aplikasi itu yang dipaparkan di papan iklan luar di Bangsar dan Bukit Kiara tidak pernah mendapat kelulusan pihaknya mahupun Yayasan Wilayah Persekutuan. Sugarbook ialah aplikasi mencari pasangan dalam talian yang diasaskan di Malaysia dikatakan boleh menghubungkan 'sugar daddy' atau 'sugar mommy' dengan 'sugar baby' dari negara ini dan seluruh Asia. Sementara itu, pengasas aplikasi Sugarbook dari Malaysia, Darren Chan dalam satu kenyataan menegaskan aplikasi ciptaan syarikatnya bukan platform menggalakkan aktiviti pelacuran. Bagaimanapun, beliau mengakui tawaran seks oleh mana-mana pihak sama ada dalam kalangan 'sugar daddy' atau 'sugar mommy' dengan 'sugar baby' adalah pilihan mereka sendiri.