Tengku Kamarulzaman kunjungi PPS Balairaya Kampung Contoh
KLUANG - Mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Contoh, Kahang menerima kunjungan Penaung Pasukan Khas Pertahanan Awam dan Bridged Seni Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Seri Tengku Kamarulzaman Sultan Abu Bakar.
Tengku Kamarulzaman mengakui gembira kerana dapat bertemu dengan rakyat Johor yang disifatkan cukup mesra walaupun sedang diuji dengan bencana banjir.
“Mereka di sini cukup mesra. Seronok melihat mereka senyum walaupun sangat sedih diuji dengan musibah banjir. Syukur diberi kesempatan datang ke Kahang, Kluang.
“Kita turut membawa barang sumbangan seperti air mineral, biskut, susu dan air mineral,” katanya ketika ditemui di PPS Balairaya Kampung Contoh, Kahang di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata, kesemua barang sumbangan terbabit dibawa dari ibu pejabat APM Sungai Merap Kajang.
Katanya, barang sumbangan itu dikumpulkan sejak 16 Disember lalu dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti CDERTLion.
“APM membantu meringankan mangsa banjir menerusi bantuan yang dihulurkan. Kita juga cukup bertuah kerana Tengku Kamarulzaman dapat bersama,” katanya.
Hadir sama melawat mangsa banjir di sini ialah tiga artis tempatan iaitu Ziema Din, Ramasundran dan Najwa P Ramlee.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!