AKB komited cungkil bakat muda
KEM Badminton Astro (AKB) terus komited mencungkil bakat-bakat muda dalam usaha memastikan negara tidak ketandusan barisan pemain berkaliber untuk mewakili negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan berkata, seramai 210 peserta berusia antara 10 hingga 12 tahun telah berjaya dicungkil sejak kem itu ditubuhkan pada tahun 2012.
Malah, beliau memberitahu, sebanyak 70 peratus bakat muda tersebut telah diserap ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan telah menyertai pelbagai kejohanan dari dalam dan luar negara.
“AKB ini program tahunan dan merupakan usaha Astro untuk mencungkil bakat muda pemain badminton di negara ini dan dalam masa sama, mencari jaguh badminton yang dapat mengharumkan nama negara seperti Datuk Lee Chong Wei.
“Kami sedar untuk menemui seorang jaguh seperti Chong Wei bukanlah perkara mudah dan ia bakal memakan masa yang lama. Sebab itu, kami mahu terus komited dan mengajak lebih ramai pihak di luar sana untuk bersama kami,” katanya pada sidang media selepas berakhir acara penutup AKB di Pusat Latihan Kebangsaan Ajinomoto, Tokyo, Jepun baru-baru ini.
Bagi penganjuran AKB tahun ini, sebanyak 3,000 penyertaan diterima melalui kem yang dibuat di Pulau Pinang, Kelantan, Johor, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak pada Mac dan April.
Daripada jumlah tersebut, seramai 64 peserta terpilih untuk latihan intensif pertama di Kuala Lumpur sebelum pemilihan dibuat untuk memilih 32 peserta dan saringan dilakukan oleh jurulatih yang juga bekas pemain negara iaitu Lee Wan Wah, Chew Choon Eng dan Chan Chong Ming.
Sebanyak 32 peserta yang terpilih itu menjalani latihan selama dua minggu di Tokyo bersama para pemain muda Jepun yang merupakan sebahagian kerjasama dengan Persatuan Badminton Nippon.
Para peserta turut ditempatkan di Athlete Village iaitu sebuah perkampungan atlet berprestij dan merupakan pusat penginapan rasmi atlet di Jepun untuk Sukan Olimpik.
Mengulas lanjut, Henry berkata, kesemua peserta dapat merasai sendiri corak latihan yang dipraktikkan para pemain Jepun selain memberikan pengalaman bersaing di pentas antarabangsa.
“Kami mahu peserta mempelajari budaya dan corak latihan negara luar seperti di Jepun selain dapat mewujudkan hubungan persahabatan yang baharu serta terus tekad dalam menggapai cita-cita menjadi jaguh badminton dunia yang seterusnya.
“Selain itu, Jepun juga diketahui dengan fasiliti mereka yang cukup bagus dan sudah tentu ia akan memberikan semangat kepada para peserta untuk berlatih dan menimba pengalaman di sini,” katanya.
Sementara itu, Chong Ming melihat para peserta yang terpilih menyertai kem kali ini mempunyai potensi untuk melangkah lebih jauh seterusnya mampu mengharumkan nama Malaysia suatu hari nanti.
“Saya harap pemain-pemain kita dapat mempelajari budaya latihan dan belajar bagaimana sikap dan disiplin orang Jepun, sekali gus bawa apa yang dipelajari itu untuk dipraktikan di Malaysia.
“Bagi saya, pemain kita ada potensi tetapi kena kerja keras lagi. Skil dan teknik kita lebih bagus daripada pemain Jepun tetapi dari segi fizikal dan mental, kita kena kuat lagi. Kalau kita tengok pemain Jepun, mereka sentiasa fokus dan apabila masuk gelanggang, mereka ada objektif untuk menang,” katanya yang juga Ketua Jurulatih AKB.
Jurulatih Remaja Persatuan Badminton Nippon, Hiroyuki Hasegawa juga senada dengan Chong Ming sambil menyifatkan para peserta AKB memiliki teknik yang baik, namun perlu meningkatkan lagi tahap stamina untuk memastikan mereka dapat bersaing di peringkat tertinggi.
“Pada hari pertama mereka datang, mereka bagaikan tidak bertenaga. Saya tegur dan selepas itu barulah mereka bertambah baik dan mula menyesuaikan diri dengan corak latihan Jepun.
“Harus diakui bahawa pemain-pemain AKB memiliki teknik yang baik dan saya harap ia dapat dipelajari oleh pemain-pemain saya,” katanya.
Hasegawa turut mengharapkan pengalaman dan ilmu baharu yang ditimba sepanjang di Jepun dapat digunakan dengan sebaik mungkin agar impian setiap peserta menjadi pemain bertaraf dunia akan tercapai.
Bagi seorang peserta AKB, Razeeq Danial Roslie, 12, dia mengakui banyak yang dapat dipelajari melalui kem intensif selama dua minggu itu terutama mengenai corak disiplin latihan yang ketat.
“Saya banyak belajar terutamanya aspek disiplin biarpun sukar untuk berkomunikasi dengan para pemain Jepun. Saya mahu mengembangkan bakat saya dalam sukan ini dan pastinya saya banyak belajar dengan mereka,” kata pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (C) Sungai Chua Kajang itu.
Menceritakan mengenai minatnya terhadap sukan badminton itu, Razeeq Daniel berkata, segala-galanya bermula daripada ayahnya yang membawa dia ke gelanggang badminton.
“Saya bermula pada usia tujuh tahun. Bapa saya membawa saya ke gelanggang badminton ketika itu. Bermula dengan ajakan bapa, pada mulanya saya tak berminat dengan sukan badminton. Awalnya, saya rasakan sukar untuk ‘masuk’ dengan permainan ini.
“Ia mula berubah ketika saya berusia sembilan tahun. Minat itu datang dan saya mula memberikan fokus terhadap badminton. Saya sudah mewakili negeri dan sekarang saya mahu memastikan impian mewakili negara akan tercapai,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!