Azrul dilantik MD, CEO PDB baharu
SATU pengumuman cukup dinantikan apabila Petronas Dagangan Bhd (PDB) melantik Azrul Osman Rani sebagai pengarah urusan (MD) dan ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 Januari depan.
Ketika ini, Azrul juga merupakan Ketua Pembangunan Komersial dan Pembentukan Usahasama di Petronas Refinery & Petrochemical Corporation (PRPC) yang berperanan sebagai CEO PRPC Utilities & Facilities.
Dalam satu kenyataan, Azrul yang juga penerima biasiswa Petronas itu memulakan kerjayanya di perniagaan runcit PDB sebelum di Malaysian International Trading Corporation Sdn Bhd (MITCO) yang memasarkan pelbagai produk petrokimia untuk pasaran Indonesia.
Menurut kenyataan itu, beliau menunjukkan kemahiran kepimpinan yang padu sekali gus membawanya menjadi antara pengurus negara termuda dilantik untuk menerajui beberapa unit dalam MITCO serta bahagian lain dalam Petronas Group.
“Sejak dari tahun 2014 sehingga 2018, beliau menerajui rundingan strategik yang membawa kepada pembentukan usahasama antara Petronas dan Saudi Aramco melalui Kompleks Bersepadu Pengerang yang menjadi pelaburan terbesar bernilai $27 bilion (RM112.44 bilion).
“Azrul kemudiannya mengambil alih tugas daripada Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed M Tahir, yang pertama kali dilantik sebagai naib presiden pemasaran dan perniagaan hiliran Petronas pada Julai 2017 dan seterusnya sebagai MD dan CEO pada Jun 2018,” menurut kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!