Mangsa banjir di Kelantan semakin kurang
KOTA BHARU - Jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) pada jam 1 tengah hari berkurangan kepada 2,182 orang berbanding 3,983 jam 8 pagi tadi.
Berdasarkan Portal Info Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 629 keluarga masih berada di 29 PPS melibatkan empat jajahan.
Mangsa banjir di Pasir Puteh dan Kuala Krai yang dicatatkan seramai 301 orang pagi tadi sudah dibenarkan pulang serta kesemua PPS telah ditutup.
Mangsa teramai di Jeli sebelum ini juga berkurangan kepada 658 membabitkan tujuh PPS manakala di Tanah Merah pula, hanya 18 lokasi yang masih beroperasi dengan menempatkan 966 mangsa membabitkan 253 keluarga.
Di Machang seramai 146 mangsa terdiri daripada 43 keluarga masih tidak dibenarkan pulang dan berada di dua PPS tetapi jumlah mangsa di Pasir Mas menunjukkan peningkatan daripada 312 pada pagi tadi kepada 658 orang membabitkan 249 keluarga.
Empat lagi PPS dibuka di Pasir Mas menjadikan kesemuanya tujuh penempatan.
Paras Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 10.73 meter (bahaya 9m) dan menunjukkan trend meningkat.
Empat sungai iaitu, Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan Di Tambatan Diraja dan Sungai Jenob di Golok melepasi paras berjaga-jaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!