Bekas datuk bandar Filipina, abang dijel seumur hidup

Andal Ampatuan Jr bersama abangnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. - Foto AFP
Andal Ampatuan Jr bersama abangnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. - Foto AFP
A
A
A

MANILA - Dua anggota salah satu puak politik paling berkuasa di selatan Filipina dijatuhi hukuman penjara seumur hidup susulan insiden serangan paling dahsyat ke atas wartawan yang menyaksikan 58 termasuk 32 petugas media ditembak mati dan dikebumikan dalam kubur cetek ketika kejadian pada 23 November 2009.

Mahkamah di Quezon City hari ini membuat keputusan itu ke atas tertuduh utama, bekas Datuk Bandar Datu Unsay, Andal Ampatuan Jr dan abangnya, Zaldy bersama hampir 200 defendan yang berdepan tuduhan membunuh dan kesalahan lain.

Menurut pendakwa raya, pembunuhan kejam beramai-ramai itu dilakukan tentera persendirian Ampatuan ke atas konvoi yang turut membawa isteri dan ahli keluarga pemimpin pembangkang, Esmael Mangudadatu yang berlaku ketika pilihan raya wilayah pada masa itu.

Adik-beradik Ampatuan terbabit bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh tersebut.

Difahamkan, 80 suspek dalam kejadian itu masih bebas.

Sejak perbicaraan itu bermula pada 2010, ahli keluarga mangsa dan kumpulan media dilaporkan menerima ancaman dan pelbagai bentuk gangguan hingga memaksa mereka memohon suaka di luar negara. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!