Malaysia-Singapura setuju gantung pelaksanaan RA, ILS
SINGAPURA - Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju kedua-dua pihak masing-masing akan menggantungkan secara serentak pelaksanaan Kawasan Larangan (RA) oleh Malaysia dan pelaksanaan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) oleh Singapura untuk Lapangan Terbang Seletar.
Tempoh penggantungan serta-merta itu adalah selama sebulan, demikian menurut kenyataan bersama selepas mesyuarat dua hala antara Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di sini.
Kenyataan itu menyebut kedua-dua pihak turut bersetuju pada masa ini, Menteri Pengangkutan dari kedua-dua negara itu perlu bertemu segera untuk perbincangan mengenai RA dan tatacara ILS untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan penerbangan awam.
Sementara itu, berkaitan isu martim membabitkan had pelabuhan Johor Bahru dan Singapura, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan sebuah kumpulan kerja diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.
Menurut kenyataan itu, kumpulan kerja itu akan mengakji dan membincangkan isu perundangan dan operasi untuk meredakan keadaan di lapangan dan menyediakan asas untuk perbincangan dan rundingan lanjut.
Ia menyebut kumpulan kerja itu akan melaporkan kepada kedua-dua Menteri Luar itu dalam tempoh dua bulan.
Pelaksanaan ILS di Lapangan Terbang Seletar di Singapura melibatkan pendaratan pesawat di lapangan terbang itu menggunakan ruang udara Malaysia di Pasir Gudang, Johor, yang dibantah oleh Malaysia.
Singapura dan Malaysia turut saling menuding jari berhubung apa yang setiap pihak tegaskan sebagai perluasan had pelabuhan yang dianggap mencabuli kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.
Pada sidang akhbar bersama, Saifuddin berkata: “Kami mengadakan perbincangan yang sangat baik pagi ini.. ia amat mesra... amat baik.”
Pertemuan empat mata antara kedua-dua menteri luar itu berlangsung kira-kira sejam pagi ini, disusuli dengan mesyuarat delegasi.
"Kita mempunyai sejarah hubungan baik yang begitu panjang dan hanya satu sahaja cara untuk terus melangkah ke hadapan... iaitu dengan memperteguhkan ikatan dan mempertingkatkan hubungan kita,” kata Saifuddin, dan menambah, “ kedua-dua pihak amat gembira dengan perbincangan hari ini.
"Langkah yang kami persetujui adalah positif dan terdapat usaha konstruktif ke arah meredakan keadaan berhubung perkara ini. Kami percaya ia akan mewujudkan persekitaran yang konstruktif bagi kedua-dua negara untuk mencari penyelesaian yang dipersetujui bersama terhadap isu dua hala kita,” katanya.
Mesyuarat dua hala itu berlangsung di Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura di Sherwood Road di sini.
Sementara itu, Balakrishnan berkata Malaysia dan Singapura akan terus menjadi jiran yang akrab dan kekal.
"Ini adalah fakta berkaitan geografi dan amat penting untuk kita terus mengadakan hubungan dua hala yang konstruktif serta saling bekerjasama.
"Kami berdua, saya dan saudara saya Saifuddin dari Malaysia... mengadakan mesyuarat yang sangat positif, sangat konstruktif dan sangat penting hari ini.
"...dan saya gembira untuk melaporkan bahawa kami telah mencapai beberapa persetujuan, dan tidak kurang pentingnya, kami turut menegaskan semula komitmen kami untuk memperteguhkan hubungan yang sangat penting antara Malaysia serta Singapura selain turut mempertingkatkan hubungan dua hala atas asas kesaksamaan dan saling menghormati." - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!