13 hari lagi untuk daftar Skim Air Darul Ehsan

Abdul Halem
Abdul Halem
A
A
A

SHAH ALAM - Berbaki 13 hari sahaja lagi pengguna di Selangor yang layak boleh mendaftar Skim Air Darul Ehsan bagi menikmati manfaat program pemberian air percuma 20 meter padu pertama itu bermula Mac tahun depan.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, sebelum ini pihaknya menyasarkan 600,000 daripada keseluruhan 1.6 juta pengguna mendaftar skim itu namun sehingga kini masih belum mencapai sasaran.

Menurutnya, sehingga kini tidak sampai 100,000 pengguna di Selangor mendaftar skim berkenaan meskipun tarikh tamat permohonan hanya tinggal beberapa hari lagi.

“Kami gesa penduduk di bawah kelompok golongan berpendapatan rendah (B40) segera daftar skim ini sebelum tempoh permohonan ditutup,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengadakan kunjungan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf di Seksyen 15 di sini hari ini.

Abdul Halem berkata, pihaknya khuatir ada pengguna layak tidak menerima manfaat air percuma itu sekiranya tiada permohonan dibuat dalam tempoh masa ditetapkan.

Katanya, mungkin ada yang tidak mendaftar kerana tidak mendapat maklumat berhubung perkara tersebut.

“Agak mustahil jika ada yang tidak tahu mengenai pendaftaran permohonan ini kerana kita sudah menguar-uarkan skim ini sejak September lalu.

“Malah gerakan kempen turun padang oleh warga kerja Air Selangor di 10 wilayah di negeri ini juga telah giat dijalankan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Halem (tiga dari kiri) bersama Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin (dua dari kiri) dan warga kerja Sinar Harian serta Air Selangor ketika mengadakan kunjungan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam hari ini.
Abdul Halem (tiga dari kiri) bersama Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin (dua dari kiri) dan warga kerja Sinar Harian serta Air Selangor ketika mengadakan kunjungan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam hari ini.

Menurut Abdul Halem lagi, mereka yang belum mendaftar boleh berbuat demikian dengan melayari laman sesawang www.ssipr.selangor.gov.my atau mengisi borang permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan yang boleh dimuat turun menerusi laman sesawang www.airselangor.com.

Katanya, pengguna juga boleh mendaftar skim tersebut di pejabat Air Selangor terdekat atau di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pusat khidmat masyarakat DUN, Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

“Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian menggunakan telefon bimbit.

“Keputusan kelulusan akan dimaklumkan sebelum Mac depan,” katanya.

Info Skim Air Darul Ehsan:

- Program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar penduduk negeri Selangor.

- Bermula pada 1 Mac 2020.

Layak menikmati Skim Air Darul Ehsan:

i. Pemohon atau pasangan adalah warganegara Malaysia dan menetap di negeri Selangor.

ii. Pendapatan bulanan isi rumah (suami dan isteri atau salah seorang sekiranya bujang/tiada pasangan) RM4,000 dan ke bawah.

iii. Premis kediaman meter individu dan meter pukal (pangsapuri kos rendah).

iv. Penghuni pangsapuri kos rendah yang menerima bekalan air melalui meter pukal perlu mendapat pengesahan Badan Pengurusan Bersama (JMB)/Perbadanan Pengurusan (MC).

v. Pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun/premis sahaja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!