Kereta rempuh kedai serbaneka di stesen minyak
PASIR PUTEH - Seorang lelaki bersama tiga anak berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka merempuh kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Jalan Jelor, Gong Beruas, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, pemandu yang juga bapa kepada tiga anak tersebut didakwa baru selesai mengisi petrol di stesen berkenaan sebelum dipercayai tertekan pedal minyak lalu terbabas dan merempuh kedai serbaneka itu.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Jaafar Jusin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.39 tengah hari.
Menurutnya, sejurus tiba di lokasi kejadian, anggota bomba terus mengeluarkan mangsa melalui pintu hadapan yang terbuka.
"Seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja membantu dan menyelamat mangsa," katanya.
Katanya, kesemua mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!