Jalan ditutup sempena Tour De Selangor 2019
SHAH ALAM - Beberapa jalan di sekitar pusat bandar Shah Alam akan ditutup bagi melancarkan penganjuran acara berbasikal Tour De Selangor 2019 Ahad ini.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, laluan tersebut melibatkan Dataran Kemerdekaan, Persiaran Bandar Raya, Persiaran Permai, Persiaran Masjid, Persiaran Kayangan dan Persiaran Dato’ Menteri.
Menurutnya, jalan yang akan ditutup bermula jam 2.30 petang sehingga 5.30 petang itu termasuk Bulatan Mestika, Bulatan Permai, Seksyen 6, Kiri Persiaran Masjid, Kiri Persiaran Tasik, Jalan Majlis dan Wisma UMNO.
“Kami gesa pengguna tidak menggunakan jalan tersebut pada waktu dinyatakan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Pihak majlis juga memohon pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi yang hendak dituju,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!