Khidmat terbaik untuk tetamu ALLAH
TH kongsi pengalaman urus hal ehwal jemaah haji lebih lima dekad
JIKA kita mendaftar haji dengan Lembaga Tabung Haji (TH) sekarang, kita terpaksa menunggu LAMA untuk sampai giliran menunaikan Rukun Islam ke-5 itu.
Itu fakta benar yang dinyatakan Pengurus Besar Kanan TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman ketika diwawancara Sinar Islam di Menara TH, Kuala Lumpur kelmarin.
Masakan tidak, sehingga kini, ujar beliau, TH mempunyai seramai 3.3 juta pendaftar haji daripada 9.4 juta keseluruhan jumlah pendepositnya.
"Namun, kuota haji pula hanya 30,200 pada setiap musim. Sistem pemilihan haji sebenarnya berdasarkan pendaftaran haji terbuka iaitu mengikut masa pendeposit TH itu daftar (haji). Apabila buka akaun di TH, ia bukan dikira sebagai pendaftar haji lagi," jelasnya.
Ya, demikian 'ujian' yang terpaksa direntas sebelum menjadi tetamu ALLAH di Tanah Suci Makkah. Tentangan sememangnya datang dalam pelbagai bentuk. Ia tidak semestinya berkait dengan soal kewangan semata-mata. Kadangkala ada yang berduit, namun kesihatan menjadi masalah utama.
Begitupun, ia bukanlah perintang utama buat umat Islam yang memang sangat berharap untuk menjejakkan kaki ke Makkah. Masalah itu sebenarnya begitu kecil jika dibandingkan dengan harapan besar mereka untuk beribadah di Baitullah yang menjadi kiblat umat Islam.
Sesungguhnya, haji bukan sekadar dilihat dari aspek ibadah, tetapi juga merangkumi soal kewangan, perjalanan dan keselamatan. Semua itu tidak boleh diuruskan secara bersendirian. Perlunya ada pihak ketiga untuk membantu melancarkan segala urusan itu.
Justeru, di Malaysia, kita sangat bertuah. Khidmat TH begitu signifikan bagi melicinkan segala urusan berkaitan dengan jemaah haji.
Bagaimana TH menguruskan hal ehwal jemaah dan segala keperluan tersebut sejak ditubuhkan pada 1963? Apakah cabaran badan tersebut untuk menguruskan jemaah?
Kemampuan
Sebelum menjawab segala persoalan itu, Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia mengajak kita untuk memahami maksud kemampuan dalam melaksanakan Rukun Islam ke-5 itu.
Firman ALLAH SWT: "Dan ALLAH mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadah haji ke Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya..." (Surah Ali 'Imran, ayat 97)
Dalam hal tersebut, ada empat prasyarat kemampuan yang penting dipanggil sebagai '4K' yang merangkumi keselamatan, kesihatan, kewangan dan kuota.
Beliau menambah, semua perkara berkenaan perlu dipenuhi oleh jemaah. Bahkan, TH sebagai pemudah cara jemaah haji turut mengambil peranan dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuklah penerbangan carter haji dan keselamatan mereka sepanjang menjalankan ibadah di Tanah Suci.
"Sebab itulah sebelum jemaah berangkat, TH akan memastikan mereka pergi menjalani pemeriksaan kesihatan. Pakar perubatan juga akan memberikan rawatan dan ubat yang bersesuaian. Bukan itu sahaja, TH juga membawa seramai 260 anggota rombongan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke sana.
"Jumlah itu termasuklah 60 orang doktor yang mana hampir 20 daripada mereka ialah pakar perubatan untuk jemaah haji. Selain itu, kemudahan klinik turut disediakan di setiap bangunan penginapan para jemaah haji. Jika memerlukan rawatan lanjutan, kita juga ada kemudahan hospital yang lengkap dengan peralatan dengan 277 buah katil," katanya sambil menjelaskan TH turut berfungsi sebagai 'institusi kewangan' kepada umat Islam untuk membuat simpanan wang bagi memenuhi aspek istito'ah atau kemampuan menunaikan haji.
Bagaimanapun, jelas Syed Saleh peranan dimainkan TH merangkumi keseluruhan urusan haji jemaah dan ia melibatkan kos langsung dan tidak langsung.
"Kos langsung meliputi tambang kapal terbang, hotel di Makkah dan Madinah, makan dan minum serta pengangkutan di Tanah Suci dan bayaran kepada pihak berwajib Arab Saudi. Pada musim haji 1440 Hijrah yang lalu, kos itu berjumlah RM22,900 bagi setiap jemaah.
"Bagi kos tidak langsung pula, ia merangkumi peranan TH sebagai badan pemudah cara seperti menganjurkan kursus-kursus haji, menyediakan buku rujukan kepada jemaah, persiapan para jemaah untuk berlepas di lapangan terbang, menyediakan petugas haji, hospital dan lain-lain yang membabitkan RM60 juta hingga RM70 juta pada setiap musim haji," katanya.
Berdasarkan rekod, TH telah berpengalaman mengendalikan lebih sejuta jemaah haji sepanjang 56 musim haji.
Petugas haji
Sesi wawancara kemudian membuka topik tentang petugas yang menjaga jemaah haji pula. Meskipun jemaah Malaysia yang mengikuti muassasah ada seramai 30,200 orang, namun petugas hanyalah 600 orang pada setiap tahun.
Ujar beliau, bilangan petugas yang sedikit itu bukanlah disengajakan, tetapi ada sebab tertentu.
"Cukup atau tidak (bilangan petugas) sebenarnya bergantung kepada tahap perkhidmatan disediakan. Namun, visa yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi pada setiap tahun adalah sekitar 600 visa untuk petugas haji Malaysia. Visa dikeluarkan itu tidak sama dengan kuota haji untuk jemaah negara," kata beliau.
Namun hal itu tidak sedikit pun menjejaskan TH dalam memberikan khidmat terbaik kepada para jemaah.
Bagi melicinkan urusan jemaah haji, para petugas TH dibahagikan kepada dua operasi iaitu di tanah air dan di Tanah Suci, terang Syed Saleh.
TH turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti KKM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan lain-lain.
"Bagi operasi di Tanah Suci, selain membawa satu rombongan yang terdiri daripada 600 petugas haji, TH turut melantik petugas yang bermukim di sana antaranya orang tempatan, rakyat Malaysia, Pattani, Thailand dan lain-lain.
"Para jemaah haji dijaga 24 jam oleh petugas yang berkhidmat berdasarkan prosedur operasi di bawah pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015. Kita ada 25 prosedur induk merangkumi operasi di tanah air dan Tanah Suci.
"Malah, setiap petugas diberi latihan tentang pengurusan risiko berdasarkan prosedur ISO berkenaan jika ada sebarang bencana atau isu kecemasan," katanya.
Ujar beliau, petugas haji TH terdiri daripada 60 peratus orang yang berpengalaman dan 40 peratus muka baharu untuk menjaga kesinambungan perkhidmatan mereka pada masa akan datang.
Perkhidmatan terbaik
Syed Saleh meneruskan bicaranya. Kali ini, beliau menyentuh tentang sistem pemilihan jemaah haji yang kadangkala nama mereka dipanggil pada saat-saat akhir.
Dalam hal itu, ujar beliau, TH akan mengeluarkan surat tawaran kepada pendaftar haji yang sudah tiba giliran untuk menunaikan ibadah haji.
"Mereka akan diberi tempoh selama 30 hari untuk menjawabnya dan memenuhi wang haji masing-masing. Selepas tempoh itu, kami akan melihat semula kekosongan disebabkan penolakan tawaran tersebut atas pelbagai sebab-sebab tidak dapat dielakkan.
"Untuk mengisi kekosongan kuota itu, maka TH akan meneliti rayuan yang dibuat bakal jemaah. Ada empat jenis rayuan yang kerap dikemukakan iaitu rayuan mahram, rayuan lanjut usia, rayuan daftar awal (mereka yang daftar awal dan menolak surat tawaran haji sebelum ini) dan rayuan biasa.
"Lazimnya, keutamaan akan diberikan kepada rayuan mahram, lanjut usia dan daftar awal bergantung kepada kekosongan tempat dan proses urusan visa. Itu antara sebab kenapa berlaku nama dipanggil last minute " jelas beliau.
Kepada Sinar Islam, Syed Saleh berkata, dari kaca mata kerajaan Arab Saudi dan negara lain, TH mendapat pujian dan pengiktirafan kerana kejayaan badan itu menguruskan para jemaah dengan cemerlang.
Ekoran pengiktirafan berkenaan, ujarnya, TH menjadi rujukan pelbagai pihak dan negara-negara lain yang tidak mempunyai model seperti TH.
"Di negara lain, pengurusan haji mereka di bawah kementerian berkaitan agama. Namun, kita di Malaysia ada badan seperti TH yang boleh memberi tumpuan khusus selain menggembleng kewangan umat Islam dan membantu operasi haji," katanya.
Pun begitu, TH tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian mereka. Sebaliknya, TH telah membentuk bahagian pembangunan dan penyelidikan dalam jabatan haji yang bertanggungjawab dari segi pengurusan kualiti yang antara lain akan membuat kajian untuk memperbaiki dan memberikan perkhidmatan terbaik dari masa ke masa.
"Untuk perancangan masa depan, pihak pengurusan TH sedang merangka pelan tindakan untuk tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024 untuk menambah baik mutu perkhidmatan.
"Ia turut mengambil kira Visi 2030 Arab Saudi yang melibatkan pembangunan dan pembaharuan di Tanah Suci," katanya mengakhiri bicara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!