Pelajar yatim piatu rai kecemerlangan PT3 di kubur mak ayah

Faris menyedekahkan bacaan Yasin dan doa kepada kedua arwah ibu bapanya.
Faris menyedekahkan bacaan Yasin dan doa kepada kedua arwah ibu bapanya.
A
A
A

GUA MUSANG - Alhamdulillah, walaupun bukan semua A, keputusan 8A 1B ini hadiah kepada arwah ibu bapa saya, kata pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dari Sekolah Menengah Sains Gua Musang.

Mohamad Faris Faisal Che Azmi, 15, merupakan salah seorang daripada lima anak pasangan yang maut dalam kemalangan pada 16 Ogos lalu.

Meraikan kejayaan di pusara kedua ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga, di sini, Faris turut menghadiahkan bacaan Yasin dan doa buat ibu bapanya.

"Pagi tadi, saya ke sekolah bersama ibu saudara dan sepupu untuk mendapatkan keputusan ujian. Sebelum ini saya 'target' kesemua A, namun tak mengapa.

"Saya terus mengajak mereka ke kubur untuk 'berkongsi' kegembiraan dengan umi dan abah. Kalau mereka ada, mereka tentu gembira hari ini.

"Sebelum ini, saya pernah memberitahu mereka untuk menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh sekiranya dapat keputusan cemerlang tapi kini, saya masih belum dapat buat keputusan," katanya.

Terdahulu, pasangan suami isteri, Che Azmi Che Hamzah, 48, dan Nor Hayati Mohamed, 43, maut dalam kemalangan apabila kenderaan dinaiki terbabas di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Pasangan tersebut meninggalkan lima anak iaitu, Mohamad Izat Danial, 23; Mohamad Syakir Aiman, 18; Mohamad Faris Faisal,15; Mohd Afiq Zulhilmi, 11 dan Nur Damia Sofea Che Azmi, 7.

Artikel Berkaitan:

Dalam kemalangan berkenaan, Faris dan dua adiknya turut cedera dan menerima rawatan di hospital.

Faris bersama ibu saudara dan sepupu serta adiknya menunjukkan keputusan PT3 di sekolah.
Faris bersama ibu saudara dan sepupu serta adiknya menunjukkan keputusan PT3 di sekolah.

Sementara itu, ibu saudaranya, Noorani Mohamad, 54, memberitahu, meskipun Faris tidak dapat hadir ke sekolah dalam tempoh lama kerana patah kaki kiri, namun dia mampu meraih keputusan cemerlang.

Selepas kematian kedua ibu bapa, lima beradik itu berada di bawah jagaan Nooraini di Kampung Rahmat, di sini.

"Anak sulung arwah, Izat, sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syakir tinggal di rumah mereka dan kadang-kadang datang ke rumah saya, manakala tiga adik mereka tinggal bersama saya sekeluarga.

"Dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Faris berjaya memperoleh keputusan 4A 1B.

"Dalam kejadian Ogos lalu, mereka bertiga cedera dan hampir dua bulan tidak ke sekolah, namun, Faris berjaya peroleh keputusan cemerlang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!