Pemburu harta karun jumpa 2kg syiling lama

Jalil (kanan) dan Rizal menunjukkan satu dulang syiling lama yang dijumpai mereka ditanam di dalam tanah baru-baru ini.
Jalil (kanan) dan Rizal menunjukkan satu dulang syiling lama yang dijumpai mereka ditanam di dalam tanah baru-baru ini.
A
A
A

KUALA NERANG - Seorang pencari barangan lama terkejut apabila menjumpai kira-kira 2 kilogram (kg) duit daripada zaman negara-negara selat sekitar tahun 1845 yang tertanam di pekarangan kawasan rumahnya di Kampung Pondok Padang Nyiur, dekat sini.

Jalil Wagiman, 51, berkata, duit syiling paling lama yang dijumpai setakat ini adalah berusia 174 tahun jenis 'Straits Settlements' dan dia masih lagi dalam proses untuk mencuci sebahagian besar lagi syiling yang dijumpainya itu.

Menurutnya, hobi mencari 'harta karun' tersebut timbul selepas melihat kejayaan penduduk luar negara yang berjaya menemui barang-barang lama berharga dan sebahagiannya pula bertukar menjadi kerjaya penuh ataupun pendapatan sampingan.

"Masa mula-mula mencari hasilnya tidak banyak dalam sekeping atau dua keping duit syiling tetapi kali ini memang terkejut kerana jumpa dalam kuantiti yang banyak.

"Saya tidak sangka pula boleh jumpa sebanyak ini kerana selalunya tengok dalam YouTube sahaja jumpa macam-macam. Saya rasa syiling sebelum zaman merdeka ini disimpan di dalam satu bekas sebelum ianya ditanam," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya semalam.

Sebahagian duit syiling lama sebelum zaman merdeka yang dimiliki oleh Jalil.
Sebahagian duit syiling lama sebelum zaman merdeka yang dimiliki oleh Jalil.

Ulas Jalil, dia bersama rakannya, Mohd Rizal Che Ya, 47 menggunakan sejenis alat pengesan yang dikenali 'metal detector' untuk mengesan 'harta karun' yang tertanam di dalam tanah sewaktu masa lapang sahaja.

"Hobi saya sebenarnya memancing ikan dan ini adalah hobi baru di waktu lapang sahaja kerana saya juga adalah peminat barang-barang lama.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini saya hanya mencari di sekitar kawasan rumah dan tidak lagi keluar dari daerah Padang Terap. Saya fokus tempat-tempat yang ada sejarah ataupun tempat yang difikirkan perlu sahaja dulu," katanya lagi.

Jalil menunjukkan cara-cara pencarian barangan lama yang ditanam di dalam tanah dengan menggunakan 'metal detector'.
Jalil menunjukkan cara-cara pencarian barangan lama yang ditanam di dalam tanah dengan menggunakan 'metal detector'.

Jalil berkata, sepanjang berkecimpung dalam hobi baharunya itu, dia tidak menafikan pernah diganggu dan percaya ia adalah sebahagian daripada adat pencari barang-barang lama.

"Saya ada terjumpa satu syiling lama di sebuah tapak rumah di tepi tangga rumah sebelum ini dan membawanya pulang ke rumah.

"Semasa di rumah dan mencuci syiling tersebut tiba-tiba ada barang jatuh terkena saya. Saya tidak hirau dan terus mencuci syiling, kemudian tiba-tiba barang lain pula jatuh. Saya anggap itu hanya ujian sahaja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!