Si cilik jutawan YouTube
NEW YORK - Seorang kanak-kanak berusia 8 tahun di Amerika Syarikat memperoleh AS$26 juta (RM107 juta) menerusi saluran YouTube pada 2019, sekali gus menjadikannya sebagai individu menerima bayaran paling tinggi di platform tersebut.
Menerusi laporan majalah Forbes, Ryan Guan juga pernah memegang gelaran sama pada 2018 dengan bayaran AS$22 juta (RM91 juta).
Saluran Ryan's World dilancarkan pada 2015 oleh ibu bapanya dan berjaya meraih 22.9 juta pelanggan dalam tempoh tiga tahun.
Pada mulanya, saluran itu dipanggil 'Ryan ToysReview' kerana sering memaparkan video 'unboxing' (membuka kotak pelbagai barang mainan dan bermain dengannya).
Beberapa video kanak-kanak itu mencecah sehingga lebih sejuta tontonan dan saluran itu telah mendapat hampir 35 juta tontonan sejak ia dilancarkan.
Saluran itu bagaimanapun dinamakan semula selepas sebuah pertubuhan menyokong pengguna, Truth in Advertising memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan AS (FTC).
Truth in Advertising mendakwa saluran itu tidak jelas memaparkan video telah ditaja iaitu jenama yang dibayar untuk video yang memaparkan produk mereka.
Saluran itu berkembang seiring dengan usia Ryan dan ia kini turut menawarkan video berunsur pendidikan.
Di bawah ranking Forbes, Ryan Kaji mengatasi saluran Dude Perfect yang dikendalikan oleh sekumpulan rakan dari Texas yang gemar melakukan aksi pelik seperti membaling bola keranjang ke dalam gelung dari helikopter. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!