Bascule drawbridge dibuka untuk tontonan

Pemandangan drawbridge dari Pesisir Payang, Dataran Shahbandar Kuala Terengganu.
Pemandangan drawbridge dari Pesisir Payang, Dataran Shahbandar Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat sendiri fungsi daun jambatan (bascule) jambatan angkat (drawbridge) yang dibuka untuk memberi laluan kepada kapal besar.

Pihak pengurusan drawbridge membuka bascule jambatan berukuran 76 meter itu selama 20 minit semalam bagi memberi gambaran lebih jelas bagaimana ia berfungsi.

Pengurus Pemasaran TI Properties Sdn. Bhd, Mohd Nazahar Samsudin berkata, bascule jambatan itu telah dibuka hampir 10 kali sejak ia beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos lalu.

"Bascule drawbridge diangkat bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan secara langsung sempena musim cuti persekolahan ini.

"Bagaimanapun, setakat ini kita belum ada jadual bagi menetapkan tarikh bascule ini akan dibuka kerana kita sedang menunggu permohonan bagi laluan kapal-kapal di laluan ini.

"Kita akan buka jambatan ini apabila ada permohonan bagi kapal-kapal yang ingin lalu atau ada mana-mana organisasi yang menawarkan bayaran untuk lihat ia dibuka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Keadaan daun jambatan atau bascule yang sedang diangkat yang dirakam daripada jarak dekat. - Foto Terengganu Drawbridge
Keadaan daun jambatan atau bascule yang sedang diangkat yang dirakam daripada jarak dekat. - Foto Terengganu Drawbridge

Bagaimanapun, katanya jadual operasinya akan dimaklumkan lebih awal bagi mengelak berlaku permasalahan bagi aliran trafik di jambatan itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebelum ini bascule drawbridge telah dibuka pada malam 15 Disember lalu bagi memberi laluan kepada sebuah kapal.

"Sambutan diterima ketika itu amat memberangsangkan. Disebabkan ada yang tidak sempat untuk menyaksikan proses bascule diangkat, hari ini kita buka sekali lagi untuk tontonan umum," katanya.

Drawbridge mula dibina pada Ogos 2014 dengan disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan serta boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Pembinaan jambatan unik itu adalah sebahagian daripada projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan kos RM248 juta dan menjadi mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di tanah air serta Asia Tenggara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!