Abdul Hadi disaran temani Najib lakukan sumpah laknat
SEREMBAN - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disaran untuk bersama menemani Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melakukan sumpah laknat menafikan dakwaan yang terkandung dalam akuan bersumpah (SD) bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri hari ini.
Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Mohd Hanis Alimin berkata, kehadiran pemimpin nombor satu Pas dalam upacara berkenaan adalah sebagai bukti Muafakat Nasional dan penyatuan ummah antara UMNO-Pas.
"Hari ini Najib dikatakan akan membuat sumpah laknat. Justeru Pemuda Amanah Negeri Sembilan mengesyorkan supaya Presiden Pas dapat bersama menemani beliau dalam upacara sumpah laknat tersebut.
"Saranan ini juga adalah bagi membuktikan kebersamaan UMNO-Pas yang sedang terjalin erat, malah ianya sudah pasti perlu dibuktikan dengan tindakan yang ikhlas seperti ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian malam tadi.
Menurutnya, penyokong setia Pas juga disaran untuk hadir beramai-ramai menyaksikan majlis sumpah laknat berkenaan.
Beliau turut menyeru bekas Perdana Menteri itu untuk membuat akuan sumpah laknat bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti mana yang dilontarkan beberapa pimpinan Pakatan Harapan di peringkat nasional.
ARTIKEL BERKAITAN: Kit Siang cabar Najib buat sumpah laknat tuduhan 1MDB
"Besarlah harapan kami, Pemuda Amanah Negeri Sembilan agar pensabitan kes bunuh Altantuya Shaariibuu ini berjalan mengikut lunas undang-undang yang sebenar," katanya.
Terdahulu media melaporkan Najib berhasrat melakukan sumpah laknat berhubung dakwaan beliau pernah mengeluarkan arahan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Sumpah laknat itu bagi menafikan dakwaan tersebut seperti mana yang terkandung dalam SD dibuat Azilah.
Najib menerusi laman Facebooknya berkata, sumpah laknat itu akan diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru di ibu negara sejurus selepas solat Jumaat hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Najib buat sumpah laknat Jumaat ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!