Had kifayah tentu taraf kemiskinan ikut tempat
SHAH ALAM - Penentuan garis kemiskinan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi asas kepada majlis agama Islam negeri-negeri bagi menentukan had kifayah kepada golongan asnaf.
Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (Jawhar), Ruslan Said berkata, had kifayah ini digunakan bagi mengetahui kadar yang perlu dibantu untuk menepati kecukupan perbelanjaan asasi.
“Soal pengukuran kemiskinan dalam kalangan agensi sedia ada sebenarnya tidak jauh berbeza. JKM misalnya, mengambil kira pendapatan perkapita ketua isi rumah bagi penentuan kadar kemiskinan.
“Maka di sini merupakan asas kepada pihak majlis agama islam negeri-negeri di dalam menentukan had kifayah kepada asnaf ini," katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Harian Siri 146, di sini malam tadi.
Wacana yang bertajuk ‘Anda Bayar Kami Urus’ turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Amran Hazali dan Pendakwah, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Arba Foundation, Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.
Beliau berkata, tujuan menetapkan had kifayah mengambil kira maqasid syariah yang meliputi lima perkara iaitu memelihara agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan juga harta benda.
Malah katanya, penentuan had kifayah ini juga mengambil kira perbezaan tempat sama ada di bandar mahupun luar bandar antara negeri.
“Misalnya di Kuala Lumpur tidak sama dengan di Kelantan. Di KL, pendapatan RM2,500 sebulan sebenarnya masih tidak cukup tetapi kalau di Kelantan, RM1,000 itu cukup. Ini contoh perbandingan tempat di mana kita berada.
“Kadang-kala kita nampak mereka cukup perbelanjaan tetapi sebenarnya tidak cukup dalam konteks setempat,” katanya.
Ruslan berkata, penetapan had kifayah untuk pihak majlis agama setiap negeri juga bertujuan memastikan hanya asnaf yang betul-betul layak menerima zakat.
"Apa yang sering berlaku di sesetengah tempat, ada yang mereka ambil kesempatan memalsukan atau cuba menipu pihak berkuasa agama, bagi membolehkan mereka mendapat status asnaf untuk mendapat bantuan zakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!