4 NGO gesa Moorthy lucut jawatan
SHAH ALAM - Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Puchong menggesa kerajaan PH supaya mengambil tindakan tegas termasuk melucutkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.
Ketua Pemuda Bahagian Puchong, Kamsani Kamarudin, 37, menegaskan, gesaan itu turut dimasukkan dalam laporan polis yang dibuat bersama Group Motor Rangoop, Belia 4B, Pekida Puchong.
“Kenyataan menteri terbabit yang tular baru-baru ini menimbulkan kemarahan rakyat kerana memburukkan nama Malaysia dengan kenyataan palsu dan berbaur fitnah terhadap perlembagaan negara.
“Menteri terbabit membuat kenyataan kononnya berlaku pencabulan hak asasi manusia terhadap kaum India di negara ini ketika kontroversi rundingan ratifikasi ICERD yang sedang giat diperjuangkannya,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kenyataan 'jahat' Moorthy, Pemuda Umno buat laporan polis]
[ARTIKEL BERKAITAN: Lucutkan kerakyatan Moorthy]
Kamsani menjelaskan, pihaknya membantah sekeras-kerasnya dan mengecam cadangan ratifikasi ICERD terbabit kerana rakyat negara ini menghormat kontrak sosial dan perkara 153 perlembagaan persekutuan.
“Kenyataan beliau dalam video dan cadangan ratifikasi itu jelas bertentangan dengan jawatannya yang memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.
“Beliau perlu membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung rakaman video terbabit dan menghentikan sebarang rundingan berkaitan ICERD,”katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!