Lapan pendaki tawan Gunung Siguniang
SHAH ALAM - Seramai lapan pendaki termasuk enam dari negara ini berjaya menawan Gunung Siguniang, China sempena sambutan Hari Gunung Sedunia 2019 pada 11 Disember lalu.
Enam pendaki dari Malaysia diketuai ketua kumpulan, Azri Abdul Bahar, Pengerusi Persatuan Aktiviti Sukan Rekreasi Advantura Hikers, Azzawati Aziz, Mohd Azlan Mohd Noor, Nofal Sandra Sofyan, Mohd Mursyid Mahjuddin dan Al Noor Aisah Muhammad.
Dua lagi pendaki iaitu Faizal Bahrin Bujang dan Lara masing-masing dari Brunei dan Australia.
Azzawati berkata, semua pendaki yang memulakan pendakian di Base Camp pada jam 4 pagi mengambil masa selama lima jam menuju ke puncak setinggi 5,025 meter.
"Kami tiba di puncak gunung pada jam 9 pagi dalam keadaan selamat, namun cuaca berangin dan suhu sejuk sekitar iaitu 20 darjah Celsius hingga 25 darjah Celsius membuatkan kami tidak lama berada di puncak.
"Kami hanya sempat mengambil beberapa gambar dan terus ke Base Camp selama tiga jam sebelum meneruskan perjalanan turur ke Rilongzhen selama lima jam lagi," katanya.
Menurutnya, terdahulu kesemua peserta berangkat ke Chengdu China untuk melaksanakan misi itu pada 7 Disember lalu.
"Setibanya di Chengdu, kami kemudian bertolak ke Rilongzhen menaiki bas yang memakan masa selama lima jam menuju ketinggian 3, 200 meter daripada aras laut dengan keadaan cuaca -3 darjah Celsius," katanya.
Hari Gunung Sedunia disambut pada setiap 11 Disember bertujuan memberi kesedaran pentingnya gunung dalam kehidupan sejagat.
Pada Tahun ini sambutan Hari Gunung Sedunia bertemakan 'Mountains Matter for Youth' dengan pelbagai aktiviti diadakan termasuklah berkongsi gambar gunung di media sosial dan bercerita mengenai gunung yang didaki dalam kalangan pendaki seluruh dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!