Katil, tilam klinik kesihatan terbakar
KAJANG - Pengunjung dan kakitangan sebuah klinik kesihatan di sini gempar apabila sebuah tilam katil di bahagian pemeriksaan ibu mengandung dan kanak-kanak terbakar petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 petang.
“Seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Peyelamat Kajang bergegas ke lokasi kejadian. Kebakaran hanya melibatkan tilam katil dan tidak melibatkan struktur bangunan.
“Kebakaran tersebut berjaya dipadamkan orang awam dengan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering sebelum pasukan bomba tiba ke lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan di kawasan terlibat bagi memastikan kebakaran tersebut telah dipadamkan sepenuhnya.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!