Negara Islam berpendapatan tinggi diseru bantu negara lain
KUALA LUMPUR - Negara Islam yang mempunyai pendapatan tinggi diseru menggunakan sumber mereka untuk membantu membangunkan modal insan dan kemahiran baharu kepada negara Muslim yang berpendapatan rendah.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sektor dagangan juga perlu diperhebatkan lagi bagi menjana ekonomi dan kemakmuran yang lebih besar dalam kalangan negara terbabit, memandangkan ekonomi orang Muslim dan negara majoriti Muslim telah mencapai AS$6.5 trilion atau 7.6 peratus daripada keseluruhan ekonomi global.
"Dengan kombinasi populasi orang Muslim di seluruh dunia yang menjangkau 1.7 bilion, bukan sahaja kita kaya dengan sumber, tetapi juga kaya dengan modal insan.
"Sebahagian besar tenaga Muslim adalah berkemahiran tinggi dan boleh digerakkan bagi memainkan peranan yang lebih besar dalam isu global. Namun, usaha yang sedang dijalankan untuk mengenal pasti masalah yang melanda ummah adalah berbeza-beza," katanya sewaktu berucap dalam sesi plenari bertajuk 'Agihan Kekayaan-Perkongsian Kemakmuran' bersempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.
Dalam pada itu Mohamed Azmin berkata, kemewahan sumber asli seperti minyak dan gas yang dinikmati beberapa negara Islam, kadar kebergantungan tinggi terhadap industri berasaskan sumber itu telah menyebabkan terhasilnya keadaan ekonomi kurang membangun.
Katanya, perkara itu berlaku ekoran sumber berkenaan tidak dieksploitasi dengan cekap serta kadar produktiviti yang bergerak pada kadar perlahan.
"Situasi ini telah menyebabkan ketidakstabilan serantau, termasuk jurang perbezaan yang semakin melebar bukan sahaja di antara negara Muslim dan bukan Muslim, tetapi juga di kalangan negara lain. Atas sebab itu, kita memerlukan satu rangka kerja yang lebih bersepadu dan inklusif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!