Persidangan bukan untuk sentuh politik, agama: Dr Mahathir
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 bertujuan untuk membincangkan soal pembangunan negara Islam.
Menurutnya, tujuan sidang itu bukanlah untuk menyentuh mengenai isu politik dan agama.
"Mesyuarat ini bukan sebab politik atau sebab agama. Ia berkaitan pembangunan negara Islam," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Media Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada sidang kemuncak itu akan membuat pendirian mengenai isu Xinjiang dan pergolakan di Yemen.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia boleh menerima kaum India dan Cina ke negara ini termasuk memberikan kewarganegaraan kepada mereka, namun duka cita apabila melihat kerajaan India yang mendakwa negara sekular tetapi mengambil tindakan terhadap segelintir orang Islam berhubung isu warganegara.
"Sudah tentu jika kita berada di situ, anda tahu apa akan terjadi, akan terjadi huru-hara dan ketidakstabilan dan semua akan sengsara," katanya.
Ratusan penunjuk perasaan memenuhi jalan raya di India baru-baru ini selepas kerajaan Perdana Menteri India, Narendra Modi menawarkan rang undang-undang kontroversi di Parlimen yang memberi kewarganegaraan kepada minoriti bukan Islam dari tiga negara jiran.
Menurut ahli politik pembangkang dan peserta protes, undang-undang tersebut adalah diskriminasi kepada umat Islam dan melanggar Perlembagaan sekular negara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!