Rumah setinggan terbakar: 13 keluarga hilang tempat tinggal
KUALA LUMPUR - Sederet rumah setinggan di Kampung Kovil Hilir Jalan Ipoh bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Sentul Utama di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mior Muhammad Fikri Mohd Zaini berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 2.53 petang.
Menurutnya, seramai 35 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Jalan Tun Razak, BBP Titiwangsa dan BBP Keramat bergegas ke lokasi.
"Kebakaran melibatkan deretan rumah setinggan berkeluasan 400x200 kaki persegi yang menempatkan 13 keluarga.
"Kesemua mangsa iaitu seramai 60 orang dipindahkan sementara ke Pusat Komuniti Sentul," katanya.
Beliau berkata, kemusnahan kebakaran dianggarkan hampir 90 peratus.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!