Dr Mahathir puas hati dengan liputan media Sidang Kemuncak KL 2019
KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa puas hati dengan liputan berita yang disediakan oleh media tempatan dan asing mengenai Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Bercakap kepada pemberita semasa melawat ke Pusat Media sidang kemuncak itu di sini, Perdana Menteri berkata, beliau kagum dengan bilangan wartawan dan pengamal media yang membuat liputan persidangan empat hari itu.
“Saya dimaklumkan bahawa 800 wartawan berada di sini, ini adalah salah satu perhimpunan kumpulan wartawan tempatan dan asing terbesar membuat liputan acara tempatan ini. Saya yakin prosiding persidangan ini tersedia untuk semua yang mahu mengikutinya,” katanya.
Sidang kemuncak bertema ‘Peranan Pembangunan Dalam Akses Kedaulatan Negara’, antara lain bertujuan membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu terhadap masalah yang dihadapi dunia Islam serta meningkatkan kesejahteraan ummah dan negara Islam secara umum.
Mengenai sidang kemuncak kali ini, Dr Mahathir yang juga pengerusi sidang kelima itu berkata, bilangan perwakilan yang hadir adalah di luar jangkaan.
“Kami menjangkakan kira-kira 400 (perwakilan) tetapi jumlah yang menyertainya adalah lebih daripada 400. Ketua kerajaan dan negara hanya empat tetapi kehadiran ulama dan pemimpin lain adalah baik sekali.
“Komen (diberikan peserta) juga sangat baik, soalan yang dilontarkan menunjukkan mereka mengambil berat dengan subjek yang dibincangkan kerana ini bukan persidangan Islam yang biasa,” katanya.
Dr Mahathir juga mengulangi bahawa sidang kemuncak ini bukan mengenai soal agama tetapi masalah yang menimpa umat Islam di seluruh dunia dan keperluan untuk negara Islam mengadakan urus tadbir yang baik dan membangunkan negara masing-masing.
“Sehingga kita akan sekali lagi dihormati, kita berjuang menentang kempen mengenai Islamofobia yang tidak terbukti sama sekali, melainkan jika kita menunjukkan bahawa kita tidak peduli dengan keganasan, maka orang akan tetap menganggap kita daripada agama yang mempromosikan rasa ketakutan,” katanya.
Beliau memuji penyertaan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani yang membicarakan pelbagai isu dengan sangat baik semasa sesi meja bulat sempena sidang kemuncak itu.
“Ternyata mereka turut amat prihatin mengenai pembangunan mereka dengan menggesa umat Islam untuk memperoleh ilmu pengetahuan bukan hanya mengenai agama tetapi juga sains, matematik dan mata pelajaran terbaru dan teknologi moden kerana jika tidak, kita akan ketinggalan.
“Dalam soal ini, mereka bersama kami kerana kita juga memberi tumpuan kepada isu itu serta mahu melihat semua negara-negara Islam stabil dan mampu menguruskan negara dengan baik supaya rakyat dapat menikmati kehidupan yang baik,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!