'Tak sangka saya buat kenduri untuk dia'
KUALA KUBU BHARU - "Dia (Jamilah) beria-ria mahu buat persediaan untuk majlis kenduri (akikah anak) saya. Tak sangka saya pula buat kenduri (arwah) untuk dia,” kata Norliza Jalim@Jamil, 39, adik kepada dua mangsa kemalangan maut di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan di Kuala Kubu Bharu semalam.
Norliza berkata, dua minggu sebelum kejadian, kakaknya, Jamilah teruja menghadiri majlis akikah anak ketiganya itu dan menawarkan diri untuk memasak jamuan kenduri itu nanti.
“Saya ada berbincang dengan kakak mengenai kenduri itu dan memaklumkan mahu menggunakan khidmat katering, namun dia beria-ia mahu memasak untuk jamuan itu yang sepatutnya diadakan esok (hari ini),” katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian, kakaknya itu memaklumkan bahawa mereka sekeluarga terdiri daripada 15 orang menaiki tiga kenderaan untuk pergi ke Shah Alam bagi menghadiri kenduri akikah anaknya.
“Dua daripada kenderaan iaitu kereta Honda Jazz dan pacuan empat roda Isuzu Dmax dinaiki 10 ahli keluarga lain termasuk ibu (Fatimah Bakar, 69) tiba di rumah saya kira-kira jam 6 pagi tadi.
“Selepas hampir 30 minit menunggu kenderaan dinaiki kakak tidak sampai, saya menghubungi telefon bimbit abang ipar beberapa kali, namun tidak diangkat.
“Panggilan kali terakhir dibuat dijawab oleh pegawai polis yang memaklumkan mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu semalam.
Sementara itu, ibu mangsa, Fatimah Bakar, 69, pula berkata, mereka sekeluarga menaiki tiga kenderaan dari Kampung Ruat, Yan, Kedah, bergerak menuju ke Shah Alam jam 10 malam kelmarin.
“Mula-mula perjalanan, Jamilah yang memandu kereta itu. Kemudian dia bertukar tempat dengan suaminya (Mohamad Rodzi) yang memandu selepas kami menyambung semula perjalanan sejurus singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah.
“Beberapa minit selepas meneruskan perjalanan, kereta mereka masih mengekori kenderaan kami yang bergerak perlahan kerana ada kemalangan di hadapan,” katanya.
Fatimah berkata, dia tidak mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa keluarga anaknya itu walaupun menyedari kenderaan mereka tidak kelihatan selepas lokasi kemalangan berkenaan.
“Saya tengok menantu (Mohamad Rodzi) sihat sahaja. Tidak nampak mengantuk atau letih ketika kami singgah di Hentian Rehat di Tapah. Saya masih terkejut dengan berita pemergian mereka namun reda,” katanya.
Menurutnya, jenazah lima sekeluarga itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ruat, Yan, Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!