Facebook siasat pendedahan data 267 juta pengguna
SAN FRANCISCO - Facebook semalam memaklumkan pihaknya menyiasat laporan mengatakan pangkalan data mengandungi nama dan nombor telefon lebih 267 juta pengguna didedahkan atas talian.
Menurut blog di laman web Comparitech, pangkalan data itu boleh diakses untuk muat naik minggu lalu di sebuah laman forum penggodam yang dipercayai milik kumpulan jenayah.
"Kami sedang menyiasat isu ini namun percaya ia mungkin maklumat yang diperolehi sebelum perubahan yang dilakukan pihak kami dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini untuk melindungi maklumat pengguna," kata jurucakap Facebook kepada AFP.
Comparitech berkata, penyelidik keselamatan, Bob Diachenko menemui pangkalan data tersebut yang boleh diakses dan mengandungi nama dan nombor telefon pengguna Facebook.
Difahamkan, laporan telah dibuat berhubung isu terbabit dan pangkalan data itu tidak lagi boleh diakses.
Pendedahan data tersebut berlaku pada ketika rangkaian sosial itu berusaha untuk membina kembali kepercayaan dan menghilangkan kebimbangan ramai berhubung perlindungan maklumat pengguna. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!