Pihak ketiga tak hadir tuntut wang Jakel Trading lebih RM10 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada pihak ketiga yang hadir bagi menuntut wang berjumlah RM10,747,042.77 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Jakel Trading Sdn Bhd yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin di Mahkamah Tinggi hari ini.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tarikh permohonan 14 Februari tahun hadapan bagi pendengaran permohonan pendakwaan terhadap harta itu.

Hakim, Muhammad Jamil berkata, pihak-pihak perlu memfailkan hujahan dalam masa dua minggu bermula hari ini dan hujahan balas pula dalam masa seminggu dalam prosiding terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM dedah 41 penama penerima wang 1MDB

Dalam masa yang sama, Muhammad Jamil membenarkan permohonan pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga ke atas Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia (GBG1M), MCA Pahang dan AGA Touch Sdn Bhd yang didakwa berkaitan dengan dana 1MDB.

Terdahulu, Farah Yasmin selaku pemohon berkata, hari ini ditetapkan pendengaran permohonan pendakwaan (pemohon) iaitu satu perintah untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga.

“Perintah ini dibuat mengikut Seksyen 61(2) Akta Pencegahan, Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya

Dalam prosiding itu, peguam Tabian Tahir mewakili GBG1M dan AGA Touch pula diwakili peguam, Fatin Najwa Ahmad Zainul manakala peguam, Datuk Ben Chan yang mewakili MCA Pahang.

Artikel Berkaitan:

Wang yang disita daripada MCA Pahang berjumlah RM835,258.19, manakala GBG1M berjumlah RM170,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Februari tahun depan untuk kehadiran pihak ketiga untuk hadir ke mahkamah.

Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pewartaan notis itu bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!