Kerajaan perlu nyata pendirian isu Uighur

Nurul Amin ketika menyampaikan ucapan.
Nurul Amin ketika menyampaikan ucapan.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa menyatakan pendirian terhadap apa yang sedang berlaku terhadap umat Islam di Uighur.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, pihaknya juga menggesa pemimpin negara mengetengahkan usul dan membuat resolusi di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang bakal berakhir esok supaya membuat bantahan terhadap kerajaan China yang didakwa menindas etnik Uighur.

"Menteri Luar, Datuk Saifudin Abdullah kata Malaysia guna saluran diplomasi untuk isu Uighur bagi menjaga hubungan baik Malaysia-China, tetapi bagi kita di pihak Pas, Malaysia perlu menzahirkan pendirian membantah Penindasan republik China terhadap etnik Uighur atas sifat hak kemanusiaan dan Islam.

"Pendirian kerajaan ini penting bagi memastikan negara-negara Islam lain turut bersolidariti untuk Uighur kerana Malaysia memiliki peranan yang besar di peringkat antarabangsa," katanya kepada Sinar Harian.

Nurul Amin berkata, kerajaan PH juga perlu membuang segala unsur komunis di negara ini yang dilihat cuba dihidupkan semula.

Jelasnya, kerajaan wajar mengambil tindakan konkrit dan tegas terhadap individu atau kumpulan yang cuba menghidupkan unsur-unsur tersebut.

"Antara unsur-unsur komunis yang cuba dihidupkan semula adalah seperti keberanian bekas ahli komunis Parti Komunis Malaya (PKM), Au Heng Kong yang mencadangkan supaya Kerajaan PH agar menilai semula sejarah perjuangan komunis yang selama ini dilabel sebagai pengganas oleh kerajaan terdahulu," katanya.

Terdahulu, Nurul Amin bersama beberapa wakil rakyat dari Pas menyertai Demonstrasi Aman Membantah Penindasan Kerajaan China Terhadap Etnik Islam Uighur di Di Masjid Nurul Ihsan Langgar.

Artikel Berkaitan:

Kira-kira 100 penduduk setempat menyertai demonstrasi tersebut selepas solat Jumaat hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!