Simpan kebaikan sepanjang hayat
HAKIKATNYA, orang yang berbuat baik kepada kita dan kita pula berbuat baik kepada orang adalah menjadi lumrah dalam kehidupan seharian.
Berkaitan hal ini, sama ada kita akan ingat kebaikan orang lain kepada kita atau orang lain perlu mengingati kebaikan yang telah kita lakukan kepada mereka, sering menjadi perdebatan yang tiada noktahnya.
Persoalannya, mengingati kebaikan dan membalas kebaikan adalah dua perkara yang berbeza? Pun begitu, di sudut hati kecil adakalanya berbisik, “Tidak balas kebaikan pun tidak mengapa, asalkan ingat kebaikan kita.”
Sebetulnya, sikap manusia adalah rumit dan pelbagai. Apa yang jelas, tidak semua individu menghargai dan simpan setiap kebaikan yang diterima oleh mereka, namun begitu, lebih ramai yang menyimpan dendam berbanding dengan kebaikan.
Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya berkaitan hal ini, didapati terdapat tiga kelompok individu yang dikenal pasti.
Pertama; individu yang hanya simpan kebaikan tanpa adanya dendam dalam diri. Kedua, individu yang simpan kedua-dua kebaikan dan juga dendam manakala yang ketiga; individu yang hanya simpan dendam sahaja.
Berdasarkan kepada ketiga-tiga kelompok tadi, majoriti individu adalah berada dalam kelompok kedua iaitu menyimpan kedua-duanya sekali.
Selain itu, ada juga sesetengah kelompok yang telah ‘membuang’ kebaikan dan menyimpan dendam setelah individu yang sebelum ini memberi kebaikan kepada beliau telah menyakiti dan mengecewakan mereka.
Kes itu biasanya berlaku kepada kawan-kawan yang rapat serta individu yang terdekat. Apa yang nyata, sikap sebegini adalah bercanggah dengan sabda Rasulullah SAW iaitu: “Sesiapa yang menghulurkan bantuan kepadamu suatu kebaktian, maka balaslah kepada dia. Jika kamu tiada apa-apa untuk balasan, maka hendaklah kamu doakan kepadanya.” (Hadis Riwayat at-Tabrani).
Persoalannya, kenapa penting sangat kita simpan kebaikan seseorang itu walaupun pahit? Sejujurnya, kita simpan kebaikan itu bukannya untuk kepentingan orang lain, tetapi untuk diri kita sendiri.
Menurut perspektif psikologi, setiap individu perlu memahami bagaimana emosi dan pemikiran mempengaruhi tingkah laku yang baik dan buruk kepada mereka. Apa yang nyata, diri kita umpama duit syiling di mana sebelah mukanya adalah kesabaran dan di sebelah lagi adalah dendam.
Oleh itu, kita tidak boleh berterusan menentukan sikap kita hanya dengan melambung duit syiling ke lantai untuk mengetahui bahagian mana yang terletak di bahagian atas.
Jika dendam, maka perlakuan kita adalah selari dengan sikap dendam tersebut, dan begitulah sebaliknya.
Natijahnya, setiap perlakuan kita hanya bergantung kepada nasib dan bukannya atas kawalan diri kita sendiri.
Secara logiknya, walaupun membalas dendam merupakan penyelesaian bagi mendapatkan keadilan kepada diri kita serta memberi perlindungan kepada diri supaya perkara tersebut tidak berulang lagi pada masa hadapan, namun perbuatan dendam tersebut tetap tidak bermanfaat dan merosakkan.
Justeru, tiada rawatan yang paling baik bagi mereka yang mengkhianati kita adalah menerusi firman ALLAH iaitu: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah sahabat karib”. (Surah Fussilat, 41:34).
Pada hemat saya, menyimpan dan menghargai setiap kebaikan yang diberikan kepada kita oleh sesiapa sahaja amat penting untuk mengajar diri kita erti bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH.
Adakalanya, bila diketahui bapanya telah melakukan kesalahan, maka dibenci oleh semua ahli keluarga sehingga lupa kebaikannya selama ini.
Ada juga yang membenci adik beradik, saudara-mara, sahabat-handai dan sesiapa sahaja kerana satu kesalahan walaupun telah menimbun kebaikan yang ditadah sebelum ini.
Seeloknya, jangan campur adukkan kebaikan dan keburukan. Apa yang jelas, kebaikan tetap kebaikan yang perlu dihargai sepanjang hayat. Mungkin mereka mendahului kita ke syurga nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!