Takdir oh takdir
SEMINGGU lepas, kawan saya Encik Din memberitahu saya yang dia hendak ke Terengganu. Katanya hendak melawat anak cucu di sana. Sudah lama tidak jenguk mereka terasa rindu pula.
Anak, menantu dan cucunya yang sulung ini tinggal di Terengganu. Bekerja di sana. Kawan saya itu selalu juga menjenguknya. Apabila rindu sahaja pergi ke sana, asal rindu sahaja pergi ke sana. Yalah cucu pertamalah katakan.
Cuma saya ada memberitahu dia juga. Sekarang musim tengkujuh. Musim banjir. Jalan melalui Gerik, Jeli dan Tanah Merah mungkin berisiko juga. Risiko banjir dan tanah runtuh. Saya nasihatkan dia periksa dahulu keadaan di sana.
Sudah menjadi lumrah setiap akhir tahun di Pantai Timur akan melalui musim banjir. Beribu-ribu orang akan berpindah randah. Jalan pun banyak yang ditutup demi keselamatan pengguna.
Saya ada membaca berita juga. Katanya mungkin ini banjir gelombang kedua. Ramai juga yang sudah berpindah randah pada masa tersebut. Jalan-jalan juga terpaksa ditutup pula.
Saya pun ada juga bercadang hendak pulang ke kampung melawat Pasar Payang baharu, tapi terpaksa menangguhkan dahulu hasrat hati.
“Bila nak pergi?” tanya saya
“Dalam minggu ni juga. Aku pergi dengan bini. Lama juga rasa tak pergi melawat anak cucu. Rindu pula,” kata Encik Din.
“Bukan ke kau dah pergi bulan lepas?” tanya saya.
“Tak pergi lagi,” jawab Encik Din.
“Anak menantu kau dah lama tak balik ke?” tanya saya lagi.
“Minggu lepas dah balik?”
“La, kau cakap dah lama tak balik?”
Encik Din hanya tergelak kecil sahaja.
“Pergi dengan apa nanti?”
“Naik bas sahaja. Semasa aku beli tiket, depa tak cakap pula tak boleh lalu,” kata Encik Din lagi.
Saya mengangguk-angguk sahaja.
Selang beberapa hari pada jam 7.30 pagi, saya ada menerima mesej daripadanya. Katanya, dia sekarang terperangkap di Kok Lanas. Banijr katanya. Setahu saya Kok Lanas tidak pernah banjir. Banjir teruk agaknya, saya agak-agak sahaja.
Saya bertanya keadaan dia lagi di sana selang beberapa jam. Katanya tersekat di Jeli pula. Masih banjir dan ada pokok tumbang pula.
“Itulah cari pasal lagi musim-musim banjir ni,” mesej saya.
Lalu dia membalas mesej saya pula, “Takdir tentukan segalanya. Ujian juga. Amin ya robbi.”
Saya tidak membalas segera mesejnya. Cuma mesejnya itu membuatkan saya berfikir pula tentang takdir dan ujian Tuhan ini menurut katanya.
“Takdir? Hmm...” saya bermonolog sendiri.
Pantas saya menghantar mesej kepadanya pula. “Ini fahaman Jabariyah ni.” Sahaja saya menghantar mesej kepadanya dengan nada bergurau.
Dia tidak menjawab mesej saya. Mungkin sedang sibuk melihat keindahan alam sekitar, gajah dan panorama banjir agaknya.
Melihat tidak ada mesej yang dibalasnya. Saya menyambung fikir lagi akan perkataan takdir ini. Adakah situasi dia terperangkap di sana adalah takdir dan ujian buatnya. Bukan ke sudah diberitahu berita-berita banjir sebelum ini?
Cuma dia sahaja yang memilih untuk ke sana juga. Dengan akal fikirannya, dia berpendapat tidak apa untuk ke sana. Kalau dah ditakdirkan selamat, maka selamatlah. Kalau tidak itulah takdir, begitukah?
Saya tidak mahulah menerangkan dengan panjang lebar fahaman Jabariyah yang lawannya Qadariyah ini. Cuma saya berpendapat Tuhan mengurniakan akal fikiran kepada kita untuk berfikir kemudian membuat pertimbangan sebaiknya.
Kalau pertimbangan tidak baik yang kita pilih, maka kitalah yang menanggungnya. Masakan pula kita persalahkan takdir Tuhan.
Itulah yang bermain di fikiran saya lagipun akal pun duduk di tempat tertinggi pada jasad manusia. Di kepala bukannya di tapak kaki.
Saya tidaklah menghantar mesej memberitahu apa yang bermain di fikiran saya ketika itu. Nanti dia terasa pula. Cuma saya berpendapat berfikiran begini adalah agak salah juga.
Itu pun mengikut pemahaman saya yang tidak pernah pun menjadi Dai, Pencetus Ummah atau ustaz selebriti.
Cuma itu yang bermain di fikiran saya ketika dia mengungkap tentang takdir ini. Maka sebagai hamba Tuhan dikurniakan akal, maka saya pun menggunakanlah akal untuk berfikir tentang perkara ini.
Selang tidak berapa lama kemudian, dia membalas mesej saya pula. Katanya,
“Bukan fahaman Jabariyah, aku sekarang sedang berfahaman SABARiyah.”
Lantas saya ketawa, “takdir oh takdir.”
* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!