Kimanis yang manis
KITA bakal membuka tahun 2020 dengan satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK). Ini berikutan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 18 Januari depan sebagai hari mengundi bagi PRK Parlimen Kimanis, Sabah.
Keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya yang menolak kemenangan penyandangnya, Datuk Seri Anifah Aman Ogos lalu nampaknya membawa negara kepada PRK ke-10 selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Seperti awal tahun ini, PRK Parlimen Cameron Highlands membuka gelanggang politik 2019 dengan kejayaan bergaya Barisan Nasional (BN) mempertahankannya.
Kemenangan itu juga menjadi titik permulaan kepada kejayaan BN dalam beberapa PRK selepasnya, sekali gus menjadikan 2019 tahun yang amat manis buat BN selepas hilang kuasa di tangan Pakatan Harapan (PH).
Bagi PH pula, kemuraman 2019 perlu segera disegarkan. Sudah tentu merampas kerusi Kimanis daripada BN (Anifah Aman memenangi kerusi itu atas tiket BN sebelum keluar parti dan menjadi ahli Parlimen bebas September tahun lalu) remedi terbaik tahun 2020.
Terlalu awal untuk mencongak peluang mana-mana parti yang bakal bertanding. Setakat ini, bacaan awal meramalkan akan ada pertandingan tiga penjuru (malah mungkin lebih) antara BN, PH (atas tiket Parti Warisan) dan calon bebas (mungkin daripada calon persendirian atau gabungan parti pembangkang Sabah).
Dan sudah tentulah Anifah Aman sendiri juga layak bertanding sebagai calon bebas. Sebagai penyandang selama empat penggal semenjak Parlimen Kimanis diwujudkan kembali tahun 2004 (PRU11), beliau tidak pernah kalah di situ. Ini memberi gambaran bagaimana kuat dan berpengaruhnya sosok beliau di situ.
Kimanis antara Parlimen yang mempunyai pengundi terkecil di Sabah dengan jumlah 29,805 pemilih berdaftar. Selain Kimanis, terdapat empat lagi Parlimen di Sabah yang mempunyai pengundi di bawah 30,000 iaitu Labuan (28,610), Beluran (28,738), Kinabatangan (29,032), dan Tenom (29,297).
Kedudukan geografi dan demografi Parlimen itu sememangnya memberikan kelebihan buat setiap parti-parti yang bertanding malah, bakal memudahkan perancangan dan strategi setiap parti.
Seperti di PRK-PRK lalu, faktor calon, isu dan jentera (CIJ) adalah elemen terpenting dalam menjana kemenangan. Mana-mana parti yang memiliki faktor itu selalunya akan memberikan kelebihan dalam persaingan.
Setakat ini, PRK Kimanis dijangka memperlihatkan pertembungan calon-calon yang kuat dan seimbang. Walaupun sehingga kini (setakat cetusan ini ditulis) masih belum ada keputusan rasmi daripada mana-mana parti berkenaan calon yang bakal dipertaruhkan, cakap-cakap awal sudahpun menyebut beberapa nama besar yang sinonim dengan politik Sabah.
PH-Warisan dijangka akan sekali lagi meletakkan Datuk Karim Bujang sepertimana ketika PRU14 lalu. Bekas ADUN Bongawan yang juga Ketua Bahagian Warisan Kimanis itu amat terkenal dan berpengaruh dalam kalangan masyarakat Melayu-Brunei di situ.
Dengan kekuatan Warisan yang menguasai DUN Bongawan, meletakkan Karim Bujang dilihat sebagai pilihan terbaik dan selamat buat PH-Warisan.
Bagi BN terutamanya UMNO, nama Ketua Bahagiannya, Datuk Mohamad Alamin kuat diperkatakan sebagai taruhan mereka dalam PRK kali ini.
Bekas ADUN Bongawan itu tewas ketika PRU14 di tangan calon Warisan juga merupakan tokoh politik yang tidak kurang hebatnya dalam konteks politik Kimanis.
Kalau Anifah Aman turut bertanding, maka dalam konteks calon PRK Kimanis sudah tentu lebih menarik untuk diperhatikan bukan sahaja dalam konteks persaingan tiga bekas sahabat lama yang pernah berjuang di dalam UMNO Sabah.
Ini sekali gus akan memperlihatkan pihak manakah pula yang akan berkelebihan dalam konteks isu dan jentera.
Di atas kertas, calon Warisan memiliki kelebihan jentera disebabkan parti itu memerintah Sabah dan didokong kuat oleh PH di peringkat Persekutuan.
Dalam masa sama, isu-isu semasa di peringkat nasional dilihat masih belum membadai Sabah sepertimana di Semenanjung kalau PRK Sandakan dijadikan asas ukuran.
Jangan terkejut juga kalau ada calon daripada parti-parti Sabah khususnya Parti Bersatu Sabah (PBS) atau Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Dengan jumlah pengundi bumiputera, bukan Islam yang signifikan di situ mereka mampu memberikan saingan sengit kepada PH-Warisan dan UMNO-BN dalam PRK tersebut.
Kekuatan parti-parti etnik Sabah dan solidariti kelompok Kadazandusun Murut (KDM) dalam konteks persaingan politik Sabah tidak boleh dipandang ringan sekiranya ada berlaku pencalonan kelak.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!