Budak 12 tahun adakan pameran sulung di galeri New York
HANOI - Seorang kanak-kanak 12 tahun memperoleh pendapatan lumayan apabila lukisan abstrak berwarna warni hasil tangannya berjaya dijual lebih AS$150,000 (RM621,000).
Lukisan Xeo Chu dari Vietnam itu turut dibandingkan dengan karya pelukis terkenal Amerika Syarikat (AS), Jackson Pollock.
Kini Xeo Chu sedang mengadakan pameran solo pertamanya di Galeri George Berges di Manhattan, New York.
Pameran bertajuk Big World, Little Eyes yang dibuka sehingga 2 Januari depan dibuat beberapa tahun selepas seorang pelukis muda berusia empat tahun menjual lukisan pertamanya di galeri sama.
Bagi pameran di New York itu, Chu menghasilkan sebuah lukisan tidak bernama sepanjang 4.5 meter dengan empat keping panel.
"Apabila ibu beritahu saya akan adakan pameran di New York, saya sangat teruja dan mahu hasilkan lukisan yang besar. Saya mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkannya," katanya.
Ketika ditanya apa yang disukai tentang lukisan, Chu menjawab "Kreativiti. Saya boleh lakukan banyak benda dengan lukisan. Saya boleh pilih apa yang ingin dilukis atau apakah perincian yang ingin dimasukkan atau warna apa," katanya lagi.
Menurut pemilik galeri, George Berges beza di antara hasil seni Chu dan Pollock adalah pelukis terkenal itu mengeluarkan lukisan kepingan terkenalnya di kemuncak kerjayanya, beberapa dekad selepas ulang tahun kelahirannya ke-12.
"Sebaliknya, Chu menghasilkan kerja yang sama di awal kariernya. Jadi, sangat menarik untuk melihat ke mana arah tuju masa depannya," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!