Tiga jalan di daerah Rompin, Pekan ditutup
KUANTAN - Tiga jalan di dua daerah di Pahang ditutup kepada kenderaan akibat dinaiki air setakat jam 8 pagi hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, dua jalan di daerah Rompin melibatkan Jalan Lubuk Batu dan Jalan Ibam Kampung Aur ditutup sepenuhnya untuk semua kenderaan.
"Satu lagi di Pekan iaitu Jalan Kuala Mentiga, Terapai hanya ditutup untuk kenderaan ringan.
"Jalan Labuk Batu dan Jalan Ibam Kampung Aur masing-masing dinaiki air sedalam 2.70 meter (m) dan 1m, manakala Jalan Kuala Mentiga, Terapai dinaiki air sedalam 0.35m," katanya ketika hubungi hari ini.
Dalam pada itu Zainal berkata, keadaan banjir di negeri ini menunjukkan menunjukkan perkembangan positif apabila hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Temerloh setakat ini.
“PPS yang terlibat iaitu PPS SK Batu Kapor dan SK Bukit Cermin masih menempatkan 272 mangsa daripada 73 keluarga.
“Kampung yang terlibat banjir juga masih kekal tiga buah kampung iaitu Kampung Batu Kapor, Kampung Chatin Bawah dan Kampung Sungai Buluh,” katanya.
Sementara itu, menurutnya, dua sungai menunjukkan amaran berwaspada iaitu Sungai Pahang Paloh Hinai, Pekan dengan bacaan 10.01m berbanding 6.50m paras normal, manakala Sungai Lipis Batu Malim dengan bacaan 1143.46m (1132.36m paras normal)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!