Polis sudah serah permohonan notis merah menantu Muhyiddin kepada Interpol
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghantar permohonan notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan itu dihantar kepada Interpol Asia sebelum dirujuk ke ibu pejabat Interpol yang berpangkalan di Lyon, Perancis.
"Pihak Interpol Asia sedang menunggu jawapan daripada Interpol di Lyon dan kita yakin memang ada Notis Merah akan dikeluarkan.
"Jawapan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita sudah terima pada 3 Oktober lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada Selasa.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, PDRM sudah menerima dokumen diperlukan daripada SPRM sebelum dimajukan ke Interpol.
Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, SPRM sedang menyediakan beberapa dokumen diperlukan termasuk draf pertuduhan kes untuk diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan notis merah terhadap menantu Muhyiddin itu dan seorang lagi individu.
Permohonan notis merah itu perlu dibuat melalui PDRM.
SPRM memohon notis merah terhadap Muhammad Adlan serta peguamnya, bagi siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!