Himpunan aman solidariti, penganjur perlu hantar notis pemakluman

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, sebarang penganjuran perhimpunan termasuk solidariti bagi rakyat Palestin pada Jumaat ini perlulah diberikan notis pemakluman kepada polis.

Beliau berkata, kesemua penganjur perlulah mengikut peraturan sebagaimana Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kita sudah mengetahui perhimpunan itu akan dianjurkan secara aman, bagaimanapun saya belum dapat pastikan sama ada penganjur sudah menghantar notis pemakluman kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Selasa.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seramai 5,000 peserta dijangka menyertai Himpunan Aman Solidariti Mempertahankan Bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang akan diadakan di Masjid Negara di sini pada Jumaat ini.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden dilaporkan berkata, himpunan anjuran parti itu dan Perikatan Nasional (PN) dijadual bermula selepas solat Jumaat bagi menunjukkan tanda solidariti ke atas nasib Palestin.

Begitu juga Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang akan mengadakan himpunan solidariti bertempat di surau Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, hari sama.

Ketuanya, Adam Adli dilaporkan berkata, himpunan itu diadakan bagi membantah tindakan kejam dilakukan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!