Laporan belanjawan setengah tahun perlu dikeluarkan setiap September

Ahmad Maslan ketika sidang media sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa.
Ahmad Maslan ketika sidang media sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan prestasi kewangan dan belanjawan setengah tahun negara perlu dikeluarkan pada September setiap tahun selepas Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (KATF) 2023 dilaksanakan kelak.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Ahmad Maslan berkata, kementerian telah memulakan inisiatif berkenaan bulan lalu untuk Belanjawan 2023 meskipun KATF 2023 belum dilaksanakan.

"Ini kali pertama kita keluarkan dan (laporan) boleh dilihat di laman web Kementerian Kewangan.

"Ia perkara baharu hasil KATF walaupun belum dilaksanakan, tetapi kita sudah mulakan laporan setengah tahun," katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Selasa.

Sementara itu mengenai RUU KATF 2023 yang akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada Rabu, Ahli Parlimen Pontian itu menjelaskan, kerajaan menetapkan empat sasaran selaras prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab sebagaimana undang-undang tanggungjawab fiskal terkini di kebanyakan negara.

Beliau berkata, prinsip berkenaan bertujuan memastikan kestabilan makroekonomi, mencapai dan mengekalkan kemampanan baki fiskal dan tahap hutang yang berhemat serta pengurusan risiko fiskal yang berkesan.

"Sasaran ditetapkan kerajaan adalah perbelanjaan pembangunan tahunan sebagai peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara perlu mencapai sekurang-kurangnya tiga peratus.

"Baki fiskal sebagai peratusan kepada KDNK sebanyak negatif tiga peratus atau kurang dan paras hutang sebagai peratusan kepada KDNK sebanyak 60 peratus atau kurang dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu turut ditetapkan jaminan kewangan sebagai peratusan kepada KDNK tidak melebihi 25 peratus," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!