Sanggup gali bawah runtuhan guna tangan
KABUL - Pasukan penyelamat pada Selasa masih bertungkus-lumus mencari mangsa yang mungkin terselamat di bawah runtuhan selepas gempa kuat 6.3 skala Richter meragut lebih 2,000 nyawa di kawasan terpencil di barat Afghanistan pada akhir minggu lalu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di wilayah Herat sejak Sabtu lalu turut disertai kumpulan sukarelawan yang hanya menggunakan peralatan asas termasuk tangan untuk menggali malah turut mengalami kesukaran kerana siri gempa susulan.
Menurut pihak berkuasa, gegaran kuat masih melanda zon gempa tersebut pada Isnin.
"Ada yang tinggal sebatang kara kerana tragedi itu," kata Ali Mohammad, 50, di perkampungan Nayeb Rafi yang sebelum ini didiami 2,000 penduduk.
Di kawasan berhampiran di Siah Ab, pengebumian beramai-ramai dilakukan ke atas 300 mangsa gempa yang dikumpulkan sekitar komuniti tersebut.
Jurucakap Kementerian Pengurusan Bencana, Mullah Janan Sayeq berkata, ada penduduk kampung yang masih tidak berputus asa dan menggali di bawah runtuhan demi untuk mencari ahli keluarga mereka yang tertimbus walaupun harapan untuk menemui mereka masih hidup semakin pudar.
"Laporan dari lokasi gempa menggambarkan situasi amat buruk daripada apa yang digambarkan," ujarnya.
Jumlah kematian dilaporkan melepasi lebih 2,400 orang.
"Kami tidak dapat memberikan data yang tepat kerana angka itu dijangka meningkat memandangkan operasi SAR masih dijalankan," jelasnya lagi.
Sementara itu, hasil penilaian dilakukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati '100 peratus' rumah di 11 perkampungan terpencil di Zenda Jan yang terletak kira-kira 30 kilometer dari barat laut bandar Herat telah musnah.
Agensi bantuan antarabangsa juga menyifatkan kejadian gempa itu sebagai satu lagi episod duka buat rakyat Afghanistan setelah lebih 1,000 terkorban manakala puluhan ribu hilang tempat tinggal selepas kejadian sama melanda wilayah miskin Paktika pada Jun lalu.
Bagi meringankan beban golongan terjejas, trak membawa bekalan asas seperti makanan dan selimut turut dihantar ke lokasi tersebut, namun agensi terlibat memberi amaran ia mungkin hanya dapat bertahan untuk tempoh sementara jika gagal mendapat dana kemanusiaan yang diperlukan.
Lebih 11,000 penduduk daripada 1,655 keluarga terjejas kejadian gempa tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!