Polis India selamba buang mayat mangsa kena langgar dalam terusan

Ketiga-tiga anggota polis dilaporkan telah digantung tugas atas tindakan tersebut. - Foto Agensi
Ketiga-tiga anggota polis dilaporkan telah digantung tugas atas tindakan tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

NEW DELHI - Tindakan tidak berperikemanusiaan polis di India yang tergamak membuang mayat mangsa nahas jalan raya mengundang kecaman umum pada Isnin.

Rakaman video yang turut menjadi tular itu memaparkan perbuatan tiga anggota keselamatan di negeri Bihar mengangkat mangsa yang berlumuran darah ke tepi sebuah jambatan sebelum mencampakkannya ke dalam terusan.

Klip itu telah meraih lebih 800,000 tontonan sejak ia dimuat naik pada akhir minggu lalu.

Pegawai kanan polis di daerah Muzaffarpur, Rakesh Kumar cuba mempertahankan perbuatan trio berkenaan terhadap mayat mangsa yang dirempuh trak dipandu laju.

“Mangsa adalah seorang lelaki warga emas dan identitinya belum dikenal pasti. Mereka hanya membuang bahagian bawah tubuhnya yang hancur teruk manakala bahagian atas telah dihantar untuk post-mortem,” ujarnya.

Menurutnya lagi, ketiga-tiga anggota itu telah digantung tugas.

Difahamkan, pihak berkuasa bertindak segera mencari cebisan tubuh mangsa selepas klip tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!