Kerja-kerja tambah baik LRA Sungai Langat tak jejas pemulihan bekalan air

Kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di LRA Sungai Langat masih dijalankan dan dijangka siap malam ini. - Foto Air Selangor
Kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di LRA Sungai Langat masih dijalankan dan dijangka siap malam ini. - Foto Air Selangor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat masih dijalankan dan dijangka siap malam ini.

Menurut kenyataan Air Selangor pada Selasa, walaupun kerja-kerja tersebut mengalami sedikit kelewatan namun ia tidak menjejaskan pemulihan penuh bekalan air kepada para pengguna di kawasan terjejas di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat.

"Bekalan air akan disalurkan secara berperingkat kepada pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan. Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor turut memberitahu bahawa bekalan air dari LRA Sungai Langat dijangka pulih sepenuhnya pada 12 tengah hari, Khamis ini.

Dalam perkembangan lain, Air Selangor turut memaklumkan bekalan air ke kawasan terjejas susulan henti tugas sementara di empat LRA disebabkan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor telah pulih 24.5 peratus setakat 7 malam ini.

Menurut Air Selangor, bekalan air terawat yang bersih dan selamat sudah mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam, 12 Oktober.

Empat LRA terlibat ialah LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang.

Sementara itu, Air Selangor menyarankan kepada pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.

"Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dari saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!